Asrama pekerja kotor: JTK mulakan tindakan pendakwaan, tiada lagi amaran -

Asrama pekerja kotor: JTK mulakan tindakan pendakwaan, tiada lagi amaran

PEGAWAI Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Perak bertanya sesuatu kepada pekerja asing ketika operasi pemeriksaan asrama pekerja sebuah kilang di Chemor, Ipoh hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Perak akan mendakwa sebuah kilang sarung tangan getah atas 10 pertuduhan dalam masa terdekat kerana gagal mematuhi peraturan ditetapkan JTK dalam satu pemeriksaan tahun lalu.

Pengarahnya, Muhamad Fauzi Abd Ghani berkata, pihaknya sudah menyiapkan 10 kertas siasatan dan pertuduhan terhadap kilang berkenaan dan sudah menyerahkan siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya.

“Perkara itu sedang dalam proses akhir untuk tindakan pendakwaan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan operasi di asrama pekerja sebuah kilang dekat Chemor di sini hari ini.

November lalu, JTK mendapati satu daripada asrama tempat penginapan pekerja yang dimiliki syarikat sarung tangan terkenal di kawasan perumahan Tasek di sini melanggar Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

Kesalahan itu dikesan ketika operasi jabatan itu bersama JTK Perak dan Jabatan Kesihatan Perak dan mendapati  tempat penginapan disediakan melebihi kapasiti 12 orang dan ruang tamu dijadikan tempat tidur serta jumlah bilik air tidak sepadan dengan jumlah  yang menginap.

Sementara itu, dalam operasi pemeriksaan yang dijalankan di asrama sebuah kilang hari ini, Muhamad Fauzi berkata, kilang berkenaan juga gagal mematuhi peruntukan yang ditetapkan mengikut Akta 446 selain turut dikesan masih belum mendapatkan perakuan penginapan daripada JTK.

“Perkara itu menjadi satu kesalahan yang jika sabit kesalahan majikan boleh didenda RM50,000 jika gagal mendapatkan perakuan penginapan.

“Kita lihat tadi keadaan asrama sangat mengerikan, kalau ikut peruntukan undang-undang majikan perlu sediakan tandas, tempat masak dan yang bersesuaian, tetapi di kilang tadi terlalu kotor, tak sepatutnya sediakan kemudahan yang sebegitu kepada pekerja.

Ia boleh menyebabkan berlakunya penularan wabak Covid-19 dan akan menyebabkan penularan menular dalam kalangan pekerja,” katanya.

Beliau berkata, jika sebelum ini, JTK hanya memberikan pendidikan kepada majikan dan meminta mereka memohon sijil penginapan daripada JTK, namun bermula tahun ini tindakan penguat kuasaan mula dilaksanakan.

Katanya, jika dalam pemeriksaan yang dijalankan mendapati majikan gagal menyediakan mengikut apa yang ditetapkan undang-undang, kertas siasatan akan dibuka dan majikan akan dikenakan tindakan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya