HULU TERENGGANU: Seorang pesawah warga emas bersama dua anaknya terkandas hampir tiga jam selepas gagal menyeberang Sungai Telemong di Kampung Matang, di sini ekoran arus deras, semalam.
Sebelum kejadian itu, Minah Dollah, 70, bersama anaknya, Rohani Mamat, 54, dan Mat Zaid, 47, dikatakan melakukan kerja-kerja pembenihan di sawah mereka yang terletak di seberang sungai tersebut.
Mat Zaid berkata, mereka bertiga ke kawasan pertanian itu kira-kira pukul 2 petang dengan menaiki bot fiber dan berhasrat pulang pada pukul 5 petang.
“Leka membuat kerja kami tidak sedar hari makin gelap dan ketika ingin pulang kira-kira pukul 6.30 petang didapati paras air sungai makin tinggi.
“Kami cuba menyeberangi sungai tetapi arus yang begitu deras memaksa untuk berpatah balik semula kerana tidak mahu mengambil risiko kerana emak tidak tahu berenang,” katanya ketika ditemui di Kampung Kepah di sini malam tadi
Menurut Mat Zaid, mereka kemudian berlindung di stor di sawah sebelum menghubungi ahli keluarga untuk memohon bantuan.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Hanaffi Mohd. berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian tersebut pada pukul 8.30 malam dan bergegas ke lokasi dengan kekuatan enam anggota.
“Sampai di Kampung Matang kami berdepan kesukaran untuk menurunkan bot ke sungai untuk ke seberang dan terpaksa menukar laluan ke Kampung Kepah.
“Arus sungai yang deras selain keadaan gelap menyukarkan kerja-kerja menyelamatkan mangsa di seberang operasi tamat kira-kira pukul 10.30 malam,” katanya. – UTUSAN ONLINE