Apa nasib pegawai APAD? - Utusan Malaysia

Apa nasib pegawai APAD?

MOHAMED NIZHAM ABDULLAH HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Rata-rata pegawai Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) kini menunggu untung nasib mereka sama ada masih mempunyai pekerjaan atau tidak pada bulan ini.

Difahamkan, kontrak perkhidmatan mereka tamat bulan lalu dan ada sebilangan besar masih ternanti-nanti kontrak sambungan mereka.

Lebih menyedihkan, mereka tertanya-tanya jika gaji bulan ini dibayar atau sebaliknya.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohammed Nizham Abdullah Hamidi berkata, situasi itu perlu diberi perhatian serius kerajaan dengan mengambil kira sumbangan mereka kepada pembangunan pengangkutan awam darat negara.

“Sejak tahun 2010 hidup seperti gantung tidak bertali. Kami yakin bahawa keadaan yang mereka alami sejak pembubaran Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang dibuat secara tergesa-gesa oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) memberi kesan langsung kepada tahap produktiviti mereka.

“Kami juga difahamkan bahawa terdapat seorang staf yang meninggal dunia disebabkan Covid-19 di rumah sewanya selepas demam selama seminggu. Dia tidak mampu ke klinik hanya disebabkan tidak mempunyai keupayaan kewangan kerana tidak mengetahui status pekerjaan beliau dengan APAD,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Mohammed Nizham berkata, semua sedia maklum kepentingan sistem pengangkutan awam darat yang efisien dalam menyokong pertumbuhan ekonomi negara.

Namun katanya, bukan sahaja kerajaan PH, malah kerajaan Perikatan Nasional (PN) juga dilihat masih tercari-cari hala tuju sistem pengangkutan negara termasuk kedudukan APAD di dalam membantu kerajaan menggubal dasar dan melaksanakan pelan-pelan pengangkutan awam yang dirancang.

Dalam hal ini, pihaknya mempersoalkan apakah perancangan kerajaan dalam memastikan agensi seperti APAD dapat berfungsi dengan berkesan dalam menyokong pembangunan pengangkutan awam darat negara.

Pembubaran SPAD, katanya, adalah satu kesilapan besar kerajaan PH dan penglibatan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyokong penubuhan SPAD sebagai agen transformasi pengangkutan awam darat negara.

“Kini APAD seolah-olah berfungsi sebagai Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) yang fungsinya hanya menguruskan hal-hal berkaitan perlesenan. Satu tindakan terkebelakang oleh kerajaan PH yang perlu diperbaiki oleh kerajaan hari ini,” katanya.

Selain itu, beliau turut mempersoalkan apakah pelan jangka masa panjang bagi pegawai-pegawai APAD yang difahamkan mereka ditawarkan kontrak selama dua tahun dengan potongan gaji sehingga 70 peratus pada 2018.

Keadaan ini, katanya, menyebabkan negara kehilangan pakar-pakar pengangkutan awam kepada pemain-pemain industri di dalam dan luar negara.

“Kini setelah tamat kontrak dua tahun, mereka sekali lagi ditawarkan kontrak yang sama.

“Ini adalah satu keadaan yang tidak adil kepada pegawai-pegawai APAD yang sekali gus merencatkan tahap produktiviti mereka dan memberi kesan langsung kepada pembangunan pengangkutan awam negara,” katanya.

Justeru, pihaknya berharap kerajaan PN mampu memberikan pencerahan dan penerangan berdasarkan persoalan yang dikemukakan sekali gus berharap agar kerajaan PN memperjuangkan juga nasib-nasib pegawai APAD yang menjadi denyut nadi pembangunan pengangkutan awam negara.

“Mereka amat mengharapkan keadilan daripada kerajaan PN hasil kesilapan kerajaan PH,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya