MUAR: Akibat berang dengan tindakan pihak berkuasa menyerbu premis makanan isterinya yang melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), seorang lelaki bertekad menyimbah air panas bercampur minyak kepada anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Muar (MPM).
Dalam kejadian pada pukul 9.30 malam kelmarin di gerai makanan yang terletak di Jalan Omar, Parit Jawa, di sini, premis itu diserbu kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) apabila membenarkan pengunjung makan di dalam premis berkenaan.
Yang Dipertua MPM, Mustaffa Kamal Shamsudin berkata, anggota berkenaan ketika itu sedang menjalankan siasatan dan pemantauan berkaitan SOP Peraturan Operasi Perniagaan Dalam Tempoh PKP sebelum mendapati pemilik premis melanggar peraturan di bawah MPM bagi mengawal penularan wabak Covid-19.
“Ketika anggota penguat kuasa berada di bahagian dapur untuk meminta butiran, suami kepada pemilik premis iaitu lelaki berusia 40-an itu berang dan bertindak menyimbah air panas bercampur minyak daripada kuali masakan kepada anggota tersebut.
“Mangsa bagaimanapun sempat mengelak dan mengeluarkan kompaun sebanyak RM1,000 kepada pemilik premis kerana gagal mematuhi SOP dibawah Seksyen 72(1)(F) Akta Kawalan Penyakit Berjangkit dengan membenarkan pelanggan makan di dalam premis,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tidak terhenti di situ, Mustaffa Kamal berkata, lelaki terbabit masih tidak berpuas hati dan bertindak agresif dengan mengekori kenderaan peronda penguat kuasa MPM sehingga ke sebuah stesen minyak.
“Lelaki itu menaiki motosikal tanpa memakai topi keledar sebelum kemudian menghamburkan kata-kata kesat kepada anggota penguat kuasa yang bertugas.
“Laporan polis dibuat oleh anggota terbabit terhadap individu itu kerana menghalang tugas penjawat awam serta cubaan mendatangkan kecederaan kepada anggota penguat kuasa,” katanya.
Menurut beliau, orang awam atau para peniaga dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang tindakan agresif ke atas penjawat awam yang sedang menjalankan tugas.
“Kerjasama daripada semua pihak amat penting dalam usaha untuk memutuskan rantaian Covid-19 dengan mematuhi SOP yang sedang berkuatkuasa.
‘Pihak berkuasa MPM akan terus melakukan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP ditetapkan bagi membendung penularan wabak Covid-19,” katanya. – UTUSAN ONLINE