KUALA SELANGOR: Seorang bapa tidak menyangka, akibat diberhentikan kerja di sebuah restoran tiga minggu lalu, dia kini terpaksa melihat anaknya memakai lampin pakai buang secara berulang kali.
Mohd. Khalil Sallehuddin, 38, berkata, dia sememangnya tidak mahu perkara seperti itu menimpa keluarganya, tetapi ekoran kerana tiada wang, dia terpaksa merelakan perempuannya, Aishah Naura Arumi berusia tiga bulan memakai lampin pakai buang banyak kali.
Menurutnya, dia dan isteri, Yeti Nasen, 41, juga menggunakan plastik selama empat hari kerana khuatir tilam dibasahi air kencing anak mereka.
Dia yang tinggal di Kampung Bukit Belimbing di sini menjelaskan, dia kehilangan sumber pendapatan sebagai tukang masak selepas kedai makan berdekatan rumahnya ditutup sejak tiga minggu lalu.
“Sejak itu, saya hanya bergantung kepada bekalan makanan yang ada termasuk makan mi segera dan nasi berlauk telur atau cendawan kering.
“Keadaan kami semakin teruk apabila lampin pakai buang anak hanya tinggal beberapa helai dan terpaksa guna plastik bagi elak kebocoran,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini semalam.
Yang turut hadir, aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang.
Terdahulu, tular kisah di laman sosial Mohd. Khalil meminta bantuan dan susulan penularan kisahnya, pelbagai pihak termasuk individu perseorangan tidak putus hadir menyalurkan sumbangan terutama barangan keperluan asas kepada pasangan tersebut.
Dalam pada itu, katanya, dia kini belum mempunyai pekerjaan baru berikutan bimbang dengan keadaan isteri dan anak selain kesukaran akibat tiada pengangkutan.
“Saya berharap dalam masa terdekat mendapat pekerjaan bagi menyara anak dan isteri. Sebenarnya, saya tidak menyangka aduan kepada Chee Heng mendapat perhatian.
“Niat saya hanya mahu memohon ihsan dan sumbangan kecil terutama lampin pakai buang atau barangan makanan. Namun, keprihatinan orang ramai amat tinggi dan saya amat menghargai sumbangan yang dihulurkan,” ujarnya.
Sementara itu, Chee Heng berkata, pihaknya menyumbangkan sebuah motosikal, wang tunai dan barangan keperluan kepada Mohd. Khalil bagi meringankan beban.
“Selepas memuat naik status kisah pasangan itu di laman Facebook, kami menerima banyak sumbangan daripada orang ramai meliputi pelbagai bangsa.
“Saya berharap motosikal ini dapat digunakan untuk mencari pekerjaan dan memulakan kehidupan baharu,” katanya. -UTUSAN