SHAH ALAM: Dalam usaha memastikan nasib mangsa banjir terus mendapat pembelaan, Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) mengagihkan 200 kotak keperluan kepada penduduk di Temerloh, Pahang.
Pengurus Besarnya, Nur Mohd. Razali Abdullah berkata, pek makanan berkenaan diagihkan kepada penduduk di Kampung Baduk dan Kampung Teluk Sentang.
“Kotak ini mengandungi barangan keperluan harian seperti beras, tepung, minyak, susu dan air mineral. Selain itu, kita memberi barangan keperluan seperti selimut, pek penjagaan kesihatan iaitu berus dan ubat gigi serta sabun mandi dan kain basahan.
“Kita menjangkakan menyerah bantuan ini kira-kira pukul 4 petang ini dan misi konvoi turut disertai oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Lembaga Zakat Selangor (LZS), Perbadanan Wakaf Selangor (PWS), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Bakti Suci Holdings Sdn. Bhd. dan Teraju Ekonomi Asnaf Selangor (Teras),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, konvoi penyerahan bantuan itu dilepaskan oleh Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof yang turut dihadiri Pengerusi YIDE, Datuk Baktiar Hussin.
Menurut Nur Mohd.Razali, pihaknya prihatin dengan musibah yang melanda rakyat Pahang dan terpanggil mengerakkan bantuan bagi meringankan beban mangsa terjejas bersama agensi agama Islam lain di negeri ini.
“Perkembangan banjir kali ini direkodkan paling luas Pahang dengan kebanyakan sungai juga melepasi paras bahaya.
“Selain itu, beberapa jalan utama terputus disebabkan tanah runtuh. Bantuan ini adalah solidariti kemanusiaan buat rakyat Pahang yang terjejas” katanya. – UTUSAN ONLINE