BUKIT MERTAJAM: Keseronokan sembilan individu termasuk remaja berusia 16 tahun mengadakan majlis sambutan hari lahir di sebuah hotel di Machang Bubok, di sini membawa padah selepas diserbu polis tengah malam tadi.
Kesemua mereka termasuk empat wanita yang berusia sehingga 24 tahun itu didapati berkumpul dan berhibur di hotel berkenaan dengan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 ketika serbuan dilakukan pukul 12.30 tengah malam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd. Samad berkata, ketika serbuan oleh Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang itu, kesemua mereka didapati sedang berhibur.
“Kesemua mereka kemudian dibawa ke Balai Polis Bukit Mertajam bagi tindakan kompaun.
“Ini kerana individu berkenaan didapati gagal mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya kepada pemberita di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE