KOTA BHARU: Pendakwah terkenal, Ustaz Budak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas lapan pertuduhan melakukan kesalahan seksual terhadap bekas pelajarnya, bermula 2017 hingga tahun lalu.
Tertuduh yang nama sebenarnya Syamsul Zaman Sukri, 33, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Mengikut pertuduhan pertama hingga keenam, dia didakwa mencabul seorang kanak-kanak lelaki yang diamanahkan kepadanya untuk dijaga, ketika mangsa berusia 15 tahun 11 bulan hingga 16 tahun sembilan bulan.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di asrama madrasah dan sebuah bilik di rumah tanpa nombor di Kampung Awah, Machang kira-kira pukul 11 malam pada November 2017 hingga September 2018.
Bagi pertuduhan ketujuh dan kelapan, dia dengan maksud seksual mencabul seorang kanak-kanak lelaki berusia 15 tahun sembilan bulan yang diamanahkan kepadanya untuk dijaga di rumah sama kira-kira pukul 11 malam pada 29 Oktober tahun lalu.
Semua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 14 Akta sama bersama Seksyen 16 akta yang sama.
Seksyen 14 (b) memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih daripada 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan, manakala Seksyen 16 adalah tambahan kepada penjara tidak melebihi lima tahun dan tidak kurang dua sebatan kerana hubungan amanah antara tertuduh dan mangsa.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hajarul Falenna Abu Bakar manakala tertuduh diwakili peguam Sharudddin Mohamed.
Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM40,000 dengan tiga orang penjamin selain tertuduh perlu melapor diri di balai polis setiap awal bulan dan kes disebut semula pada 17 Februari depan.
Tertuduh membayar ikat jamin yang ditetapkan oleh mahkamah.
Pada 21 Disember lalu, Ustaz Budak yang menguruskan sebuah madrasah pernah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Bharu atas tuduhan melakukan kelucahan melampau terhadap seorang lelaki di sebuah hotel, di sini.
Pada 31 Disember, dia berdepan tiga lagi pertuduhan, masing-masing dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu dan satu pertuduhan di Mahkamah Majistret Machang atas dakwaan melakukan kelucahan melampau terhadap dua bekas pelajarnya, dua tahun lalu. – UTUSAN