PUTRAJAYA: Kerajaan menyasarkan pemberian suntikan vaksin Covid-19 kepada 75,000 orang dalam tempoh sehari di bawah Program Imunisasi Kebangsaan di 600 pusat vaksinisasi di seluruh negara bermula Mac ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, jumlah ini menyamai 12,500 orang menerima vaksin dalam tempoh sejam atau seramai lima orang secara serentak mengambil suntikan di setiap 600 tempat vaksinasi itu.
Beliau berkata, sasaran berikutnya adalah bergantung kepada bekalan yang diterima agar boleh memberikan suntikan 150,000 sehari untuk mengambil dos kedua.
Justeru, katanya, kerajaan berharap dapat menyelesaikan vaksinisasi seramai 27 juta orang atau 80 peratus daripada populasi penduduk dalam tempoh setahun iaitu pada Mac 2022 atau paling awal dapat diselesaikan pada Disember ini.
Beliau pada masa sama mengakui masalah bekalan vaksin seperti kelewatan pembuatan dari vaksin Pfizer dan AstraZeneca.
“Kita sudah mengenal pasti lokasi 600 vaksinasi itu selain melihat tempat-tempat lain yang lebih besar seperti di stadium dan sebagainya.
“Jadi saya fikir 75,000 setiap hari dengan gabungan 600 lokasi dari pihak Kementerian Kesihatan selain hospital dan klinik swasta ditambah pula lokasi besar yang sedang saya koordinasi, jika semua berjalan seperti dirancang, maka kita mampu menyelesaikan semuanya pada Disember nanti,” katanya ketika dipetik dalam temubual dengan portal kesihatan CodeBlue, kelmarin.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan turut mengenal pasti lokasi vaksinasi berdasarkan kepadatan penduduk selain jumlah permintaan serta berapa ramai boleh menerima suntikan di pusat berkenaan setiap hari.
Menurut Khairy, 600 lokasi itu adalah melibatkan hospital dan klinik Kementerian Kesihatan, hospital universiti, klinik dan hospital Angkatan Tentera Malaysia (ATM), klinik swasta serta fasiliti kesihatan swasta.
Bagaimanapun, kata beliau langkah itu memerlukan perbincangan bersama di peringkat kerajaan negeri dengan klinik swasta bagi melihat keupayaan dan ruang lokasi di kesemua tempat yang dikenal pasti.
Khairy memberitahu, kerajaan turut akan menambah jumlah kakitangan yang akan melaksanakan suntikan vaksinasi itu kepada 10,000 berbanding 7,000 orang sebelum ini bergantung kepada bilangan lokasi.
Beliau berkata, bukan sahaja dalam kalangan doktor, tetapi beberapa pasukan perubatan lain yang akan ditambah seperti pembantu perubatan, jururawat, penyelia jururawat, pelajar perubatan, sukarelawan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bakal digerakkan dalam program ini.
“Kita bukan hanya menggerakkan mereka dalam perkhidmatan kesihatan, malah pasukan sukarelawan seperti Bulan Sabit Merah, St John Ambulance, kebanyakkannya adalah sukarelawan,” jelasnya. -UTUSAN