GEORGETOWN: Seramai 27 penghuni inap desa di Batu Feringghi, di sini dikenakan kompaun gara-gara tidak mendaftar nama dan nombor telefon melalui aplikasi MySejahtera awal pagi tadi.
Mereka dikenakan tindakan terbabit dalam operasi Op Cegah Jenayah Bersepadu Ambang Tahun Baharu 2021 yang dijalankan sepasukan polis dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut mulai pukul 10 malam hingga 3 pagi tadi.
Operasi tersebut dijalankan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dengan keseluruhan anggota dan pegawai seramai 221 orang.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, penghuni inap desa itu antara 880 individu yang diperiksa dalam operasi yang melibatkan beberapa kawasan tumpuan pelancong di negeri ini.
Katanya, operasi tersebut turut dijalankan di 61 buah bar dan restoran sekitar Batu Feringghi, Lebuh Chulia dan Padang Kota Lama di sini.
“Operasi ini bertujuan memastikan semua individu mematuhi prosedur standard operasi (SOP) Covid-19 selain mencegah salah laku jenayah dan mabuk.
“Dalam operasi tersebut, tiga tangkapan dilakukan menerusi Op Mabuk, sembilan premis dikenakan kompaun manakala enam lagi premis menerima notis penutupan oleh MBPP,” katanya di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE