24 ditahan tipu pelaburan forex bernilai RM30 juta - Utusan Malaysia

24 ditahan tipu pelaburan forex bernilai RM30 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Sebanyak 24 individu termasuk dua warga asing ditahan kerana dipercayai terbabit dengan sindiket penipuan pelaburan forex di negara ini.

Serbuan pada 5 Januari lalu itu dilakukan di sekitar Lembah Klang selepas tiga laporan berkaitan sindiket berkenaan dibuat di daerah Ampang Jaya membabitkan kerugian berjumlah RM30 juta pada tahun lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Bukit Aman,  Datuk Mohd. Kamarudin Md Din berkata,hasil siasatan dilakukan, sebanyak 16 lelaki serta enam wanita tempatan selain seorang lelaki warga Thailand dan seorang wanita warga Indonesia berusia antara 25 hingga 57 tahun diberkas selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan itu.

“Mereka yang ditahan itu termasuk dalang sindiket berkenaan iaitu seorang lelaki tempatan yang menggunakan gelaran Datuk palsu.

“Kami turut merampas pelbagai barangan termasuk enam kenderaan mewah, 1,000 keping wang USD100 dipercayai palsu, tujuh bar emas disyaki palsu, barang kemas, 15 kad ATM, wang tunai berjumlah RM2,230.

“Turut dirampas 22 telefon bimbit dan 10 komputer riba dalam serbuan itu ” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat JSJK Bukit Aman, di sini hari ini.

Tambah, Mohd Kamarudin, siasatan awal mendapati sindiket berkenaan aktif memperdaya mangsa bagi menyertai pelaburan forex yang tidak wujud sejak dua tahun lalu.

“Sindiket itu juga menjual perisian komputer bagi tujuan analisa situasi pasaran forex serta dipercayai membina laman sesawang palsu untuk meyakinkan mangsa menyertai pelaburan.

“Selain itu, sindiket berkenaan juga dipercayai menggunakan wang tunai mata wang USD serta bar emas palsu yang ditemukan di lokasi serbuan bagi meyakinkan mangsa terhadap pelaburan terbabit,” jelasnya.

Dalam pada itu, kata Kamarudin, mangsa diminta membuat pembayaran deposit melalui beberapa kaedah seperti bayaran tunai, pemindahan wang ke dalam akaun bank diberikan sindiket dan menggunakan mata wang digital (krypto).

“Mangsa kemudian akan berdagang dan keuntungan diperoleh dapat dikeluarkan pada peringkat awal pelaburan sehingga mereka bertambah yakin dengan pelaburan disertai dan memperkenalkannya kepada kenalan lain.

“Namun, masalah mula timbul selepas keuntungan diperoleh tidak dapat dipindahkan ke akaun bank mangsa sebelum mereka menyedari ditipu sindiket terbabit,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Kamarudin memberitahu, sepanjang tempoh tahun lalu sebanyak 325 laporan dengan kerugian berjumlah lebih RM21 juta diterima.

“Jumlah itu meningkat lebih tiga kali ganda berbanding pada 2019 yang merekodkan sebanyak 100 kes membabitkan kerugian berjumlah lebih RM15 juta.

“Bagi 2018 pula, sebanyak 150 kes penipuan forex dilaporkan membabitkan kerugian lebih RM18 juta,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada apabila mahu membabitkan diri dalam apa jua jenis pelaburan dengan membuat semakan terlebih dahulu kepada pihak berkuasa.

“Jangan mudah terpedaya dengan tawaran keuntungan tinggi yang dijanjikan oleh syarikat pelaburan tidak sah bagi mengelak menjadi mangsa penipuan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya