23 bubu naga disita di PD - Utusan Malaysia

23 bubu naga disita di PD

SEBANYAK 23 set bubu naga dirampas Jabatan Perikanan Negeri Sembilan, semalam. - IHSAN JABATAN PERIKANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Sebanyak 23 set bubu naga dirampas dan disita Jabatan Perikanan negeri, petang semalam selepas dikesan dipasang di perairan Port Dickson.

Pengarah Perikanan Negeri Sembilan, Halimi Abu Hanip, kesemua bubu tersebut dikesan kira-kira 0.15 batu nautika dari Pulau Perjudi berdekatan Teluk Pelanduk oleh Unit Perlindungan Sumber Jabatan Perikanan yang menjalankan pemantauan di perairan berkenaan.

Katanya, penemuan penggunaan bubu naga ini pertama kali dikesan di negeri ini.

“Penggunaan bubu naga (juga dikenali sebagai bubu kambam) adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 iaitu memasang peralatan menangkap ikan tanpa kebenaran/lesen.

“Kesemua bubu naga tersebut disita mengikut Seksyen 49 Akta Perikanan 1985. Tidak dapat dipastikan pemilik bubu berkenaan kerana tiada nelayan di tempat kejadian setelah pihak kami menunggu beberapa ketika,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, menurut Halimi, pihaknya pernah menerima aduan dan rungutan daripada nelayan dan pernah cuba mengesan namun pemantauan semalam baru membuahkan hasil.

“Kami pernah cari, walaupun ada aduan kali ini baru jumpa. Bubu ini sangat panjang dan mempunyai banyak injap dan pihak jabatan tidak mengeluarkan sebarang lesen untuk jenis ini, kecuali bubu yang mempunyai tidak lebih daripada dua injap sahaja.

“Kaedah penangkapan ikan dengan menggunakan bubu naga ini turut mengganggu operasi penangkapan ikan oleh nelayan-nelayan tradisional yang berlesen, terutama dalam kalangan nelayan pukat hanyut.

Sehubungan itu, jika ada sesiapa mempunyai maklumat tentang penggunaan bubu naga ini di perairan laut Port Dickson, harap dapat laporkan kepada kami untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya