REMBAU: Sebanyak 22 buah rumah terjejas dalam kejadian angin kencang di sembilan buah lokasi di daerah ini pagi tadi.
Pegawai Daerah Rembau, Mohamad Najib Mustafa berkata, daripada 22 buah,10 rumah di Taman Rembau Utama, empat di Senama Tengah, dua di Sri Kendong dan masing-masing sebuah di Batu Hampar, Gadong, Anak Air Nerasau, Tanah Datar, Chengkau Ulu dan Senama Tanjung Keling.
“Kita akan memohon bantuan tabung bencana kerajaan negeri dan jumlah serta jenis bantuan yang diberikan adalah berdasarkan laporan kerosakan akibat bencana berkenaan,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Sementara itu, seorang mangsa, Aishah Alias, 72, berkata, dia bernasib baik tidak ditimpa dahan pokok petai yang merekah dalam kejadian tersebut.
Menurutnya, dia sudah menetap di Kampung Senama, Tanjung Keling sejak lebih 30 tahun namun kejadian pokok tumbang sehingga menghempap belakang dapur rumahnya adalah pertama kali berlaku.
“Sebelum ini memang ada atap terbang dan rumah dihempap pokok di kawasan perumahan berdekatan. Namun, ini kali pertama rumah saya dihempap dahan pokok petai berusia puluhan tahun kira-kira pukul 9.15 pagi tadi.
“Kebiasaannya pada waktu berkenaan, saya sudah berada di belakang rumah menyiram pokok dan berehat-rehat tetapi pagi tadi terlewat sedikit kerana lambat menunaikan solat dhuha,” katanya. – UTUSAN