2 tablet untuk anak yatim 9 beradik - Utusan Malaysia

2 tablet untuk anak yatim 9 beradik

SYED Mohd. Johan Rizal Syed Unan Mashri (dua dari kanan) dan Mohamad Fadzil Zolkipli (kanan) menyampaikan sumbangan dua unit tablet kepada Saaidah Puteh di Alor Setar, Kedah, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Bersimpati dengan nasib seorang ibu tunggal anak sembilan yang terpaksa berkongsi telefon untuk belajar, Kelab Belia Darulaman tampil menghulurkan bantuan dua tablet hasil inisiatif penubuhan Tabung Bantuan Gajet.

Pengerusi Kelab Belia Darulaman, Syed Mohd. Johan Rizal Syed Unan Mashri yang juga Ketua Pemuda UMNO Alor Setar berkata, bantuan itu diharapkan dapat memudahkan tujuh anak ibu tunggal, Saaidah Puteh, 40, yang masih bersekolah mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Isu kelengkapan komunikasi terutama gajet, telefon pintar dan tablet ini mendapat banyak keluhan masyarakat terutama kumpulan tidak berkemampuan yang mempunyai anak ramai mengakibatkan mereka tidak mampu mengikuti PdPR dengan lebih berkesan.

“Kami mengambil inisiatif memberi sumbangan. Sumbangan ini juga adalah sumbangan daripada orang ramai melalui Tabung Bantuan Gajet,” katanya ketika ditemui selepas penyerahan gajet itu kepada keluarga Saaidah di rumahnya, di Kampung Dewan Alor Malai di sini hari ini.

Yang hadir sama Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kedah, Mohamad Fadzil Zolkipli yang turut menghulurkan bantuan wang tunai dan makanan kepada keluarga tersebut.

Syed Mohd. Johan Rizal berkata, Tabung Bantuan Gajet dikendalikan kelab tersebut yang diwujudkan bagi mengumpul dana sekali gus membolehkan peralatan tersebut diagih kepada pelajar tidak berkemampuan.

“Kami menyeru sesiapa sahaja termasuk individu atau syarikat korporat memberi sumbangan untuk tabung ini. Setakat hari ini, kami menyediakan sebanyak 11 tablet untuk diedarkan termasuk dua hari ini,” katanya.

Sementara itu, Saaidah pula berkata, keluarganya terharu keprihatinan semua pihak yang menghulurkan pelbagai bantuan bagi meringankan bebannya.

“Alhamdulillah, bantuan ini digunakan sebaik mungkin oleh anak-anak saya terutama tujuh daripada mereka yang masih bersekolah,” katanya.

Utusan Malaysia pada 27 Januari lepas menyiarkan keluhan Saaidah apabila anak-anaknya yang bersekolah terpaksa berkongsi dua telefon pintar miliknya dan arwah suami untuk mengikuti sesi PdPR. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya