2 lokaliti di Terengganu dikenakan PKPD - Utusan Malaysia

2 lokaliti di Terengganu dikenakan PKPD

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Dua lokaliti di Terengganu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara serentak selama tempoh 14 hari bermula esok.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antaranya Pusat Transit Tahanan (PTP) melibatkan Blok Latihan Pegawai Zon 2 dan Zon 3 di Penjara Marang.

“Pelaksanaan ini bagi memudahkan Kementerian Kesihatan melakukan saringan secara bersasar dan memastikan tiada penularan dalam komuniti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehingga 26 Januari lalu, sejumlah 1,262 ujian dibuat dan daripada jumlah itu, sebanyak 98 kes positif Covid-19 direkodkan yang membabitkan tahanan ditempatkan di PTP sahaja.

PKPD di situ, ujar beliau, sama seperti yang diumumkan sebelum ini termasuk larangan pergerakan keluar masuk dan sesi lawatan oleh ahli keluarga banduan tidak dibenarkan.

Ismail Sabri berkata, turut dikenakan perintah tersebut ialah Pusat Koreksional Dungun dan Kuarters Kakitangan yang juga akan dimulakan esok sehingga 10 Februari ini.

Setakat semalam, jelas beliau, sejumlah 1,102 ujian saringan dilakukan dan daripada jumlah itu, sebanyak 99 kes direkodkan meliputi 92 tahanan, dua kakitangan dan lima kontak rapat.

Dalam pada itu, katanya, Kementerian Sumber Manusia memaklumkan seramai 7,541 pekerja warga asing menjalani saringan di seluruh negara semalam dengan 153 orang didapati positif.

“Secara kumulatif, sejak 1 Disember tahun lalu, sejumlah 225,950 individu sudah pun selesai melakukan ujian saringan Covid-19 yang melibatkan sebanyak 9,132 majikan,” kata beliau.

Daripada jumlah berkenaan ujarnya lagi, hanya 4,386 pekerja warga asing yang disahkan positif wabak tersebut, manakala selebihnya iaitu seramai 221,564 orang lagi adalah negatif.

Sebanyak 876 klinik terlibat dalam program mandatori itu selari arahan kerajaan mewajibkan pekerja asing menjalani ujian dengan kos saringan perlu ditanggung majikan masing-masing.
Buat permulaan, arahan itu diwajibkan di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Sabah serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan sebelum diperluas ke negeri lain. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN