1MDB: Goldman Sachs potong bayaran pegawai AS$23 juta - Utusan Malaysia

1MDB: Goldman Sachs potong bayaran pegawai AS$23 juta

DAVID SOLOMON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Goldman Sachs memotong bayaran tahunan Ketua Eksekutifnya, David Solomon (gambar) sebanyak AS$10 juta (RM40.47 juta) akibat penglibatan bank terkemuka itu dalam skandal 1Malaysia Deve­lopment Berhad (1MDB).

Pemotongan bayaran tersebut turut melibatkan Ketua Pegawai Kewangannya, Stephen Scherr dan Ketua Pegawai Operasi, John Waldron yang masing-masing dikurangkan bayaran sebanyak AS$7 juta (RM28.33 juta) dan AS$6 juta (RM24.28 juta) menjadikan jumlah keseluruhan pemotongan ialah AS$23 juta (RM93.07 juta).

Perkara tersebut dinyatakan dalam satu makluman oleh Suruhanjaya Sekuriti dan Tukaran AS kelmarin.

Makluman tersebut turut menjelaskan, walaupun ketiga-tiga pegawai kanan tersebut tidak dikenakan tindakan, ahli Lembaga Pengarah syarikat menganggap perkara yang berlaku ialah kegagalan institusi.

“Sementara tiada seorang pun dalam kalangan Solomon, Waldron dan Scherr yang terlibat atau sedar tentang penglibatan firma dalam apa-apa aktiviti haram semasa firma menyusun transaksi bon 1MDB, Lembaga Pengarah melihat masalah 1MDB sebagai sebuah kegagalan institusi yang bertentangan dengan kepercayaan tinggi Lembaga Pengarah terhadap firma,” kata makluman itu.

Pemotongan bayaran itu berikutan pengakuan bersalah Goldman Sachs terhadap dakwaan komplot untuk mengingkari undang-undang antirasuah Amerika Syarikat (AS) dalam skandal 1MDB. Bank itu bersetuju untuk membayar hampir AS$3 bilion (RM12.14 bilion) atas pengakuan tersebut, Oktober lalu.

Menurut CNN Business, Goldman Sachs terlibat dalam skandal tersebut apabila bank itu menulis dan menyusun jualan bon untuk 1MDB yang menurut Jabatan Kehakiman AS (DOJ) melibatkan pencurian dana berjumlah AS$4.5 bilion (RM18.21 bilion).

DOJ turut mendakwa, Jho Low adalah individu yang bertanggungjawab menyusun plot untuk memindahkan wang tersebut daripada dana 1MDB ke akaun bank bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya