JOHOR BAHRU: Pasangan suami isteri yang berusia 25 tahun dan ke atas direkodkan banyak terlibat dalam pertelingkahan sehingga membawa kepada kejadian keganasan rumah tangga, sejak awal tahun ini.
Setakat ini, sebanyak 12 kes membabitkan golongan itu dilaporkan, namun kebanyakan mereka menarik semula laporan dibuat atas faktor kasihan terhadap pasangan yang berdepan dengan tindakan perundangan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Zaiton Ismail berkata, antara faktor kes itu berlaku adalah keadaan negara dilanda penularan pandemik Covid-19 ditambah dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan ramai mengalami tekanan.
“Kebanyakan mangsa yang membuat laporan menarik balik laporan kerana selain faktor kasihan, mereka juga tidak rela berpisah serta memikirkan soal anak-anak serta survival masing-masing.
“Oleh itu, petugas, kaunselor dan pegawai pelindung Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memainkan peranan dan sedia membantu memberi khidmat nasihat kepada pasangan terbabit,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam.
Sementara itu, Zaiton memaklumkan, terdapat kes keganasan rumah tangga melibatkan pasangan berusia lebih 50 tahun tetapi bilangannya tidak tinggi.
Menurut beliau, kesemua kes yang dilaporkan kepada pihaknya disiasat mengikut Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.
Katanya, khidmat nasihat serta kaunseling yang diberikan bertujuan menyelamatkan perkahwinan mereka daripada bercerai hingga mendatangkan kesan kepada pasangan dan anak-anak.
“Kalau boleh kita cuba selamatkan (perkahwinan), tidak mahu mereka bercerai, itu sahaja. Tempoh PKP ini yang menyebabkan lama terperuk di rumah, mudah berlaku pertelingkahan.
“Kalau soal tak mampu dari segi penjagaan anak-anak, JKM akan membantu dan terus santuni mereka ini bagi menyelesaikan masalah tidak ada makanan secara segera,” katanya. – UTUSAN ONLINE