1,000 bersesak dalam asrama pekerja kilang - Utusan Malaysia

1,000 bersesak dalam asrama pekerja kilang

PEGAWAI pengua tkuasa JTKSM dan JTK Perak melakukan pemeriksaan asrama pekerja asing di Taman Perindustrian Lumut Port Kampung Acheh dekat Lumut, Perak hari ini. - UTUSAN/SHAMSUL KAMAL AMARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Dua lokasi asrama yang menempatkan hampir 1,000 pekerja kilang warga asing dekat sini, didapati tidak memiliki perakuan penginapan daripada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).

Malah, dua lokasi tersebut yang masing-masing menempatkan dua blok asrama tiga tingkat dan empat blok asrama empat tingkat juga didapati tidak mematuhi standard ditetapkan bagi asrama pekerja.

Antaranya adalah kesesakan tempat tinggal apabila sebuah bilik yang sepatutnya menempatkan dua orang dihuni sehingga empat orang, tiada kemudahan katil dan tilam serta ruang tamu dijadikan kawasan tempat tidur.

Tinjauan juga mendapati ada pekerja yang menempatkan bahan masakan, alat memasak dan memasak dalam bilik tidur mereka.

Perkara itu ditemukan dalam operasi khas JTKSM, JTK Perak bersama Jabatan Kesihatan, polis, Majlis Perbandaran Manjung serta pejabat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri di dua lokasi asrama tersebut di Taman Perindustrian Lumut Port serta Kampung Acheh dekat sini, hari ini.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JTKSM, Zaini Yaacob berkata, operasi itu dilakukan selepas pihaknya menerima aduan mengenai perkara berkenaan.

Katanya, siasatan lanjut akan dilakukan terhadap majikan dan penyedia penginapan tersebut mengikut Seksyen 24D (3) dan Seksyen 24D (4) Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

Menurutnya, jika sabit kesalahan, majikan boleh didenda maksimum RM50,000 mengikut Seksyen 24D(3) manakala penyedia penginapan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya, mengikut Seksyen 24D (4) akta berkenaan.

“Terdapat dua jenis kediaman pekerja yang kita buat pemeriksaan iaitu yang disediakan penyedia penginapan yang menempatkan pekerja pelbagai majikan dan yang kedua penginapan disediakan pihak majikan dalam kawasan kilang.

“Pada keseluruhannya bangunan sesuai didiami manusia tetapi pemeriksaan mendapati ada beberapa perkara yang tidak dipatuhi termasuk tiada perakuan dan kesesakan,” katanya kepada pemberita selepas operasi berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan majikan dan penyedia penginapan agar perkara itu dapat ditangani dalam masa terdekat.

Buat masa ini, menurut beliau, pihaknya belum mengeluarkan saman terhadap pihak terbabit sehingga siasatan lanjut dilakukan manakala majikan perlu segera bertindak menangani masalah itu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya