PEPATAH Melayu mengatakan, yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang, begitulah analogi tepat untuk menggambarkan kejayaan seseorang.
Jika ia tidak usahakan, mana mungkin rezeki datang sendiri. Ikuti kupasan menarik mengenai 10 kisah usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang boleh dijadikan inspirasi bersama.
1. Dr. Lee Yean Wang – X’Mos
Dikenali sebagai Dr Mos atau Dr Nyamuk, gelaran unik yang diberi kepada usahawan ini sudah pasti menarik perhatian ramai.
Nama sebenarnya Lee Yean Wang, merupakan anak jati dari Sungai Petani Kedah. Beliau memperoleh falsafah kedoktoran (PhD) pada 2007.
Dengan kepakaran dimiliki, Dr Lee Yean Wang berjaya menghasilkan produk kawalan nyamuk X’Mos, memanfaatkan lebih 100 ribu pengguna.
X’Mos memiliki fungsi tiga dalam satu berkesan membunuh, memberi perlindungan berterusan dan menghalau nyamuk terutama Aedes.
Siapa sangka, sehingga kini belum ada pesaing yang berjaya menghasilkan produk serupa dan setanding X’Mos.
Namun, disebalik kejayaan dan inovasi produk itu, Lee Yean Wang berkata usaha untuk mendidik pengguna supaya beralih dan bertukar kepada produk baharu sangat sukar.
“Apatah lagi dengan lambakan produk sedia ada di pasaran, ia lebih mencabar dan mengambil masa lama.
“Justeru usahawan PKS dinasihati mempersiapkan diri sepenuhnya dengan kemahiran keusahawanan termasuk menguasai perniagaan dalam talian bagi memasarkan produk,” katanya.
2. Leny Adam – Asianic & Blossom
Melihat variasi rangkaian produknya sahaja, sudah pasti ramai kagum dengan kebolehan wanita ini.
Bergelar ibu kepada empat orang anak, ia bukan halangan untuk Leny Adam, 45, merealisasikan impian dan cita-citanya.
Terkenal sebagai individu yang sentiasa positif dan tidak segan untuk menimba ilmu baharu, Leny berjaya membawa jenama Asianic & Blossom setanding produk terkemuka.
Kini rangkaian produknya sudah menembusi hampir semua pasar raya besar dan mendapat tempat untuk pasaran luar.
Tidak lokek berkongsi ilmu, Leny berkata usahawan harus komited meningkatkan mutu produk disamping memastikan pembungkusan cantik dan menarik untuk memikat hati pelanggan.
3. Noraziza Usman – Inas
Noraziza Usman, 40 merupakan salah seorang tulang belakang sebuah syarikat bumiputera, Inas Global Sdn Bhd.
Ditubuhkan pada 9 November 2016, syarikat ini diterajui oleh empat ahli lembaga pengarah yang juga rakan kongsi perniagaan.
Menariknya, keempat mereka mendapat pendidikan di satu sekolah dan berkongsi minat sama dalam perniagaan.
Terkenal dengan produk cucian seperti sabun serbuk, pembersih lantai, pelembut fabrik dan pewangi, jenama Inas tidak asing lagi dalam kalangan pengguna tempatan.
Lebih mengagumkan, produk Inas diyakini halal, mesra pengguna malah air sisa cuciannya juga dikatakan mampu menyuburkan tanaman.
Ditanya mengenai pencapaian syarikat, Noraziza berkata Inas Global terus mencatat keuntungan sebanyak RM2 juta walaupun berdepan pelbagai cabaran ekonomi sepanjang pandemik.
“Usahawan tidak boleh berputus asa, perlu komited dan jangan sesekali membiarkan setiap peluang dalam bisnes berlalu sia-sia,” katanya.
4. Jauhari Abdul Rahman – JAUHARI
Anak kelahiran Kluang Johor, Jauhari Abdul Rahman, 46 terkenal dengan perniagaan hasil seni kaligrafi Islam eksklusif dan elegan.
Pernah berkecimpung dalam bidang korporat selama 10 tahun, Jauhari ternyata bangga dengan pencapaian jenama JAUHARI.
Lebih mengagumkan, JAUHARI mempunyai pelanggan setianya sendiri, terdiri daripada golongan kerabat atau kenamaan.
“Setakat ini, hasil seni JAUHARI sudah berada di Istana Negara, Istana Selangor, Istana Perlis, pejabat menteri, menteri besar dan lain-lain,” katanya.
Berpegang teguh kepada prinsip hidup, Jauhari mengingatkan usahawan supaya jujur, amanah dan sentiasa mematuhi perintah agama dalam apa jua urusan.
5. Haslina Ismail – ByAriana
Haslina Ismail, 37 anak kelahiran Pasir Mas Kelantan merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Pembangunan Sumber Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM).
Pernah berkhidmat sebagai pengendali laman web di sebuah syarikat komunikasi selama lapan tahun. Minatnya dalam bidang perniagaan mendorong beliau meninggalkan kerjaya lama.
Memulakan langkah dengan perniagaan pastri di rumah, kemudian beralih menjual tudung secara kecil-kecilan, kini Haslina sudah memiliki rangkaian produk fesyen jenama sendiri, ByAriana.
Jenama ByAriana terkenal dengan pilihan baju kurung, tudung, pakaian muslimah dan kelengkapan umrah untuk wanita.
Berkongsi tips kejayaan, Haslina berkata usahawan usah bimbang dengan kelebihan perniagaan orang lain sebaliknya perlu fokus dan sentiasa mencari cara memperbaiki perniagaan sendiri.
6. Nur Dalila dan Zahedy – Songkok Masood Hussin
Kisah pengusaha perniagaan Songkok Masood Hussin, Nur Dalila Abdul Ghani, 41 dan Zahedy Zakariah, 43 cukup mengagumkan.
Mewarisi kepakaran pembuatan songkok daripada arwah datuk, Nur Dalila tekad meneruskan legasi perniagaan tradisi itu bersama suami.
Terkenal dengan hasil buatan yang kemas, teliti dan selesa, Dalila dan Zahedy sentiasa mencari cara untuk menaik taraf produk mereka.
Terbaharu, Songkok Masood Hussin hadir dengan inovasi songkok lipat, kelihatan sama seperti songkok biasa, tetapi lebih senang dibawa dan mudah disimpan.
Ditanya mengenai pencapaian paling dibanggakan, keduanya berkongsi keterujaan sewaktu diberi kepercayaan membuat songkok untuk Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.
Songkok itu dibuat khas untuk istiadat permasyhuran baginda, termasuk songkok untuk Jumaah Majlis Diraja Johor serta kerabat.
7. Salmah Abd Aziz – Abas & Sal Batik
Impian untuk mengangkat seni batik sebagai seni kraf utama di Malaysia merupakan satu tanggungjawab besar untuk dilaksana.
Namun bagi Salmah Abd Aziz, 60, tiada yang mustahil sekiranya seseorang itu ikhlas menghargai dan mencintai seni.
Perniagaan Abas & Sal Batik yang diusahakan bersama suami, Mohd Abas menawarkan produk batik lukisan tangan.
Terdapat lebih 30 fesyen ditawarkan terdiri pelbagai corak moden dan kontemporari serta pilihan warna pastel yang memukau.
Bercakap mengenai kualiti produk, pihaknya yakin semua hasil batik yang dipasarkan sangat bermutu tinggi, kemas dan bersih.
“Malah, untuk kualiti warna sahaja mampu bertahan sehingga 10 tahun,” kongsi Salmah.
Sebagai usahawan, Salmah dan Abas sentiasa mencari jalan untuk memastikan perniagaan mereka berbeza dan mempunyai identiti sendiri.
“Walaupun idea seperti corak batik kerap ditiru oleh pengusaha lain, kami tetap bersemangat menghasilkan motif baru sekali gus memastikan kualiti produk terbaik dari segi bahan mentah dan jahitan,” katanya.
8. Nazim Mohamad Yusoff – EMB Habbatus Sauda
Cekal dan hebat, ini istilah paling sesuai untuk menggambarkan peribadi pengasas produk EMB Habbatus Sauda.
Nazim Mohamad Yusoff, 49 berasal dari Pulau Pinang, memulakan perniagaan hasil sokongan dan usahasama keluarganya sendiri.
Menyedari potensi dan keberkesanan minyak Habbatus Sauda, Nazim tekad menghasilkan produk terbaik untuk pengguna.
Berkongsi mengenai cabaran memulakan perniagaan, Nazim berkata penghasilan produk EMB Habbatus Sauda tidak semudah disangka.
“Kami perlu mendaftar produk dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), pengilang ubat sah dan mengikut segala prosedur ditetapkan.
“Banyak kos dibelanjakan untuk itu, namun kami tetap menyahut cabaran dan meneruskan usaha hingga berjaya,” kongsi Nazim.
Berkat usaha, produk mereka berjaya memperoleh kelulusan NPRA serta mendapat pensijilan MeSTI dan Halal.
Ia pencapaian yang cukup membanggakan kerana proses untuk mendapatkan pengiktirafan pihak berkenaan sangat rumit.
“Jangan menyerah kalah dalam perjuangan. Kita harus percaya dengan diri sendiri dan hiraukan pandangan negatif orang,” pesan Nazim.
9. Sharifah Nur Aliyah Barakbah – Ning Salmah
Niat awal untuk membantu rakan baik menyelesaikan masalah anak meragam, menjadi pendorong kepada Sharifah Nur Aliyah Barakhbah, 33 mengikuti jejak perniagaan keluarganya.
Memanfaatkan bakat diwarisi keluarga dalam penghasilan produk berasaskan herba, Sharifah tampil dengan ilham baharu dikenali Ning Salmah.
Ia adalah rangkaian produk penjagaan diri untuk ibu dan anak, berasaskan bahan semula jadi dan herba tradisional.
“Kami fokus untuk memberi penuh perhatian kepada pembangunan produk, ini termasuk memastikan Ning Salmah dapat membantu ibu-ibu dalam tugas seharian.
“Menyelesaikan masalah dialami anak sekali gus memberi nilai tambah kepada mereka untuk menjana pendapatan tambahan,” kongsi Sharifah.
Ditanya mengenai kejayaan perniagaan, beliau berkata syarikatnya dipilih untuk membuat pembentangan kepada pelabur berpotensi di persidangan Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) pada Januari 2020.
Malah, Ning Salmah juga tersenarai di tangga 22 terbaik daripada 500 pemohon untuk bersaing dalam cabaran BizSmart Alliance Bank.
10. Mohd Herin Mansor – Binmansor
Bermula dengan minat, akhirnya menjadi punca rezeki sehingga sekarang.
Ini pula kisah Mohd Herin Mansor, 41 pengasas perniagaan busana tradisional Melayu, Binmansor.
Bapa kepada tiga orang anak ini sebelumnya pernah bekerja di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selama 14 tahun.
Namun selepas belajar mengarang tanjak tradisional dengan gurunya Johan Iskandar pada 2016, beliau menunjukkan minat untuk mengusahakan perniagaan sendiri.
Bermula dari situ, jenama Binmansor mula menjadi perhatian ramai.
Ia memudahkan pengguna mencari tanjak, busana Melayu, samping, sandal dan aksesori lain.
“Saya bergerak bersama persatuan dan agensi kerajaan bagi memperkenalkan busana Melayu asli.
“Walaupun pada permulaan ramai memandang pelik dan menganggap saya kurang waras, namun saya bersyukur masyarakat sudah boleh menerima,” kata Mohd Herin.
Berkongsi mengenai persaingan perniagaan, Mohd Herin berkata kini sudah ramai pengusaha baharu muncul.
Bagaimanapun perniagaannya tidak terkesan kerana beliau masih mengekalkan tanjak asli dengan buatan berkualiti dan material bermutu tinggi.
Kagum dengan hasil tangannya, Binmansor pernah dikunjungi permaisuri Agong, serta diberi kepercayaan menaja busana dan aksesori Melayu untuk rancangan Pendekar Muda 2018, Konsert Wings Laksamana Metal 2019 dan siri Kampung Pisang episod raya.
Harapan negara
Semua kisah usahawan PKS yang dikongsikan ini haruslah dijadikan teladan bersama.
Sesungguhnya setiap kejayaan itu tidak akan datang bergolek. Untuk mencapai sesuatu impian, setiap individu perlu fokus, komited dan ikhlas dalam semua tindakannya.
Menghargai persekitaran dan orang sekeliling juga penting kerana ia boleh menjadi pencetus ilham yang mendorong kejayaan anda.
Seiring Kempen Beli Barangan Malaysia oleh Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), marilah kita bersama-sama menyokong dan membeli produk PKS.
Ia bagi memastikan kelangsungan dan pertumbuhan ekonomi negara kekal berdaya saing, sekali gus membuka peluang kepada usahawan tempatan memperbaiki kualiti produk mereka setanding jenama antarabangsa.