PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri bersedia akur keputusan muzakarah berhubung fatwa isu vaksin Covid-19.
Kenyataan terbaharu itu sekali gus berbeza dengan pandangan beliau pada 24 November lalu yang memaklumkan bahawa ajaran Islam memberi kelonggaran vaksin dari sumber haram.
“Saya akan akur bersetuju menerima segala keputusan mesyuarat muzakarah khas yang bakal dimuktamadkan esok, ini bagi mengelakkan berlaku dua fatwa berbeza,” kata beliau.
Zulkifli berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Amanat kepada 57 pegawai penyelidik baharu lantikan kontrak Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di sini hari ini.
Turut hadir ialah Mufti Wilayah Persekutuan, Dr. Luqman Abdullah dan juga pelaksana tugas bagi Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Abdul Aziz Jusoh.
Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, isu itu dibincangkan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas kali ke-10 Tahun 2020 Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI).
“Semua mufti yang hadir akan menilai dari segi syarak sebelum buat keputusan rasmi dan kemudian dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agong dan sultan bagi diwartakan,” katanya.
Ini kerana semua sembilan sultan bertindak sebagai ketua hal ehwal agama Islam di negeri mereka manakala bagi negeri tiada raja, ia di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong.
Mesyuarat itu hanya bincang isu vaksin Covid-19 dengan diberi taklimat oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr. Hishamshah Mohd. Ibrahim mewakili Kementerian Kesihatan.
Tambah Zulkifli, Jakim akan mengambil maklum semua pandangan Ahli Jawatankuasa MKI dan kementerian itu sebelum memutuskan fatwa muktamad bagi vaksin wabak maut tersebut.
“Memang ada beberapa negara Islam yang mengharuskan vaksin ini waima daripada sumber bahan haram tetapi ada juga bertegas melarang atas pelbagai sebab tersendiri,” tegas beliau.
Britain semalam dilaporkan muncul sebagai negara pertama memberi kelulusan vaksin dibangunkan firma gergasi Pfizer dan BionNTech secara darurat bermula paling awal minggu depan.
Menyentuh isu ayam yang dihasilkan melalui proses klon genetik terbaharu di Singapura, Zulkifli berkata, Jakim sedia menghantar pegawai ke republik itu bagi menilai perkara tersebut.
Ini termasuk perbincangan lanjut dengan Mufti Singapura sendiri dan pihak Majlis Ugama Islam Singapura terutama berhubung isu status halal daging ternakan daripada teknologi moden itu. – UTUSAN ONLINE