KUANTAN: Pembukaan pusat kuarantin di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Pahang (Sukpa) di Indera Mahkota, dekat sini tidak bermakna daerah ini berada dalam zon merah.
Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri, Zairasyahli Syah Zulkifli berkata, hanya kawasan Sukpa dikategorikan sebagai zon merah manakala kawasan sekitarnya kekal dengan kategori kuning dan hijau.
“Ramai orang yang ingat apabila pesakit Covid-19 ditempatkan di sini, bermakna daerah Kuantan sudah jadi zon merah. Perkara itu tidak betul kerana hanya di Sukpa (zon) merah.
“Saya harap penduduk di Kuantan tidak bimbang dan mendengar berita yang disebarkan pihak tertentu. MKN, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta agensi lain mengadakan pemantauan 24 jam sehari di sini.
“Kita akan pastikan pesakit Covid-19 ditempatkan di Sukpa tidak meloloskan diri. Jadi, kita harap penduduk tidak bimbang, kita pun ada ahli keluarga di Kuantan. Keselamatan orang ramai menjadi keutamaan kami,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan dan pemantauan operasi sanitasi serta persiapan di Stadium Tertutup Sukpa hari ini.
Operasi sanitasi dilakukan pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang.
Yang turut hadir Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Abd. Rahim Muda.
Sementara itu, Mohamad Noor memberi jaminan tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang diambil terhadap mana-mana pesakit Covid-19 ditempatkan di Sukpa yang cuba meloloskan diri.
“Kita akan mengambil tindakan jika ada yang cuba meloloskan diri. Pegawai dan anggota PDRM di sini juga akan memastikan perkara seperti itu tidak berlaku,” katanya.
Beliau berkata, kira-kira 40 pegawai dan anggota PDRM bertugas di Sukpa sejak semalam. – UTUSAN ONLINE