Wanita pukul kucing bunting hingga mati direman empat hari - Utusan Malaysia

Wanita pukul kucing bunting hingga mati direman empat hari

WANITA yang dituduh memukul dua ekor kucing termasuk seekor kucing bunting hingga mati diiringi anggota polis ketika hadir di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Seorang wanita yang dituduh memukul dan mendera kucing hingga mati kelmarin ditahan reman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan pihak berkuasa.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin pagi ini.

Terdahulu, suspek berusia 51 tahun tiba di mahkamah kira-kira pukul 10 pagi dengan diiringi anggota polis dan anggota penyiasat daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri.

Dia yang memakai baju lokap berwarna jingga dengan tangan bergari kelihatan tenang sepanjang proses itu berjalan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.20 petang di pekarangan sebuah pangsapuri di Seberang Jaya itu, suspek dikatakan bertindak memukul dua ekor kucing yang sedang diberi makan oleh seorang rakan pengadu yang juga saksi kejadian.

Akibat kejadian itu, salah seekor kucing tersebut yang dalam keadaan bunting mati manakala seekor lagi iaitu anak kucing luka di bahagian mulut.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd. Samad berkata, selain disiasat di bawah Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015, polis turut menyiasat kes tersebut di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan selepas suspek dipercayai dipukul oleh beberapa individu susulan tindakan kejamnya terhadap kucing-kucing itu.

Sementara itu, pegawai penyiasat JPV, Azhar Ahmad memberitahu, pihaknya merampas pakaian yang digunakan suspek pada hari kejadian selain senjata iaitu besi yang digunakan bagi tujuan siasatan.

Katanya, kucing yang cedera itu pula kini diletakkan di bawah jagaan pihak JPV untuk rawatan susulan.

“Daripada siasatan awal kita juga, kucing-kucing yang dipukul itu adalah kucing liar yang sering berkeliaran di kawasan tersebut sebelum ini,” katanya.

Difahamkan, kucing berkenaan mengalami bengkak di bahagian muka dan kesukaran untuk makan selain belum dalam keadaan stabil sepenuhnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya