Wakil rakyat Johor matang - Pas Johor - Utusan Malaysia

Wakil rakyat Johor matang – Pas Johor

ABDULLAH HUSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Usul Belanjawan Johor 2021 yang diluluskan sebulat suara membuktikan kematangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor sama ada kerajaan mahupun pembangkang dalam mengutamakan kepentingan rakyat.

Pesuruhjaya Pas negeri, Abdullah Husin berkata, belanjawan negeri itu mendapat kerjasama semua wakil rakyat termasuk sepanjang sesi perbahasan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berjalan lancar serta dibahaskan secara professional dan terbuka.

“Tahniah kepada semua ADUN membahaskan belanjawan tersebut secara professional dan terbuka dengan menumpukan kepada kebajikan dan kemaslahatan rakyat serta mengenepikan perbezaan pegangan politik masing-masing.

“Tahniah juga diucapkan ADUN Bukit Pasir, Mohd. Najib Lep iaitu ADUN tunggal Pas Johor yang membawa pandangan dan pendirian Pas Johor berkaitan belanjawan itu dalam sidang DUN,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Abdullah berkata, Pas Johor memberi komitmen untuk terus bersama-sama kerajaan negeri yang sedia ada demi kelangsungan kebajikan dan kepentingan rakyat di negeri ini.

Jelasnya, pendirian itu selari dengan titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang mahukan kepentingan rakyat diutamakan.

Belanjawan Johor 2021 diluluskan dengan suara majoriti dalam sidang DUN yang terakhir untuk undian semalam yang mana perkembangan itu juga bermakna kedudukan Menteri Besar Hasni Mohammad dari UMNO tidak tercabar.

Sekiranya tidak diluluskan, kedudukan Hasni tercabar kerana gagal mendapat sokongan majoriti ADUN dan mengalami nasib seperti bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada Jumaat lalu.

Kerajaan Perak pimpinannya tumbang selepas gagal mendapat sokongan majoriti ADUN dalam usul undi percaya terhadapnya.

Pada masa ini DUN Johor memiliki 56 kerusi iaitu PN menguasai 29 kerusi manakala pembangkang 27 kerusi DUN.

Daripada 29 kerusi PN itu, 14 dimiliki UMNO, Bersatu (12 kerusi), MIC (dua kerusi) dan Pas (satu kerusi) manakala PH mempunyai 14 kerusi dimiliki DAP, Amanah (14 kerusi) dan dan PKR (empat kerusi). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN