Venue Sukma tidak jadi gajah putih - Utusan Malaysia

Venue Sukma tidak jadi gajah putih

ONN HAFIZ GHAZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Sebanyak 39 venue yang disediakan untuk Sukan Malaysia (Sukma) Johor 2020 akan dimanfaatkan demi memastikan tidak menjadi projek gajah putih ekoran penangguhan temasya sukan tersebut.

Pengerusi Pelancongan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, penyelarasan telah dibuat oleh semua pihak berkepentingan bagi memastikan perkara ini tidak berlaku.

Katanya, sebanyak RM6.45 juta diperuntukan tahun hadapan bagi tujuan penyelenggaraan semua premis itu di samping menjadi lokasi latihan atlet dan venue pertandingan tempatan sepanjang 2021.

“Bergantung kepada pandemik Covid-19, pelbagai kejohanan di fasiliti baharu ini seperti Kejohanan Renang Piala Datuk Bandar 2021 di Pusat Akuatik Arena Larkin Johor Bahru.

“Selain itu Kejohanan Tinju Piala Datuk Bandar 2021 dan Kejohanan Badminton Remaja Kebangsaan 2021 di Stadium Tertutup Arena Larkin,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi dua soalan yang dikemukakan K. Raven (BN-Tenggaroh) dan Datuk Osman Sapian (Bersatu-Kempas) dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di sini hari ini.

Menurut Onn Hafiz, status kemajuan pembinaan kemudahan sukan bagi Sukma Johor secara keseluruhannya telah mencapai tahap 99 peratus.

Katanya, sebanyak 13 venue merupakan venue yang baharu dibina manakala selebihnya sedia ada dan dinaik taraf.

“Kos keseluruhan anjuran temasya ini adalah RM617.9 juta merangkumi kos pembangunan infrastruktur dan kemudahan sukan berjumlah RM 467.9 juta manakala kos pengurusan adalah RM150 juta.

“Daripada jumlah tersebut, RM142 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan pusat untuk pembangunan infra dan RM65 juta untuk pengurusan,” katanya.

Dalam pada itu, Onn Hafiz memaklumkan Sukma Johor yang sepatutnya berlangsung pada awal 2021 terpaksa dibatalkan disebabkan pandemik Covid-19 dan mengambil kira keselamatan 30,000 atlet dan pegawai sukan seluruh negara.

Katanya, namun kerajaan negeri amat prihatin dengan masa depan atlet-atlet Johor yang selama ini berkorban masa dan tenaga untuk menghadapi Sukma negeri ini.

“Oleh itu, kerajaan negeri memperuntukkan insentif secara one-off minimum RM500 akan diberikan kepada atlet, jurulatih dan pegawai yang memberi manfaat kepada 1,173 penerima.

“Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) akan bekerjasama dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam bagi menyediakan laluan khas kepada atlet-atlet Sukma Johor untuk melanjutkan pelajaran di bawah program Pengajian Luar Kampus Diploma Pengurusan Sains Sukan.

“Melalui MSNJ, bantuan one-off RM1,000 akan diberikan kepada 30 atlet Johor yang mengikuti program ini sebagai galakkan dan bantuan untuk melanjutkan pengajian di peringkat yang lebih tinggi,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya