Vaksinasi sebahagian hak asasi manusia - Utusan Malaysia

Vaksinasi sebahagian hak asasi manusia

HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Vaksinasi adalah sebahagian hak asasi manusia yang mesti dihormati, dilindungi dan dipenuhi sekali gus akses sejagat kepada vaksin berpatutan, mudah diperoleh serta adil amat penting.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, dalam kepentingan itu, kerjasama antarabangsa sangat penting pada masa ini untuk memastikan koordinasi berkesan dan tindakan lanjut terhadap usaha Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkenaan akses global kepada ubat-ubatan, vaksin serta peralatan perubatan berkaitan Covid-19.

Melalui semangat ini, kata beliau, Malaysia bergabung dengan Fasiliti Vaksin Global COVAX dan bekerjasama dengan negara-negara di seluruh dunia bagi memastikan vaksin mesti dijadikan kebaikan umum global.

“Dunia dengan sabar menunggu pengembangan vaksin yang selamat dan berkesan untuk mencegah Covid-19 dan beberapa negara memulakan perancangannya atau mengambil bahagian dalam Ujian Klinikal Fasa 3.

“Walaupun ini adalah perkembangan positif, wujud risiko tinggi bahawa persaingan global akan meningkatkan harga vaksin dan rawatan perubatan lain akan mempengaruhi usaha kita untuk imuniti global,” katanya ketika berucap sempena Hari Hak Asasi Manusia 2020 secara maya, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, dalam menangani kesan pandemik ketika ini, golongan rentan paling terkesan dan ‘merosakkan’ masyarakat miskin dalam komuniti sejajar dengan penguncupan ekonomi dan menjejaskan kehidupan.

Katanya, apatah lagi kesan ekonomi pandemik itu turut mempengaruhi lebih ramai wanita, justeru, kerajaan melaksanakan dasar responsif gender di bawah pakej rangsangan Prihatin dan Penjana seperti bantuan tunai untuk ibu tunggal, subsidi penjagaan anak dan pengaturan kerja yang fleksibel.

“Kerajaan turut menangani peningkatan kes-kes keganasan semasa pandemik dan mengambil langkah-langkah melindungi wanita dengan menyalurkan bantuan, advokasi dalam talian, tempat perlindungan dan memberikan perkhidmatan kaunseling.

“Kesejahteraan pendatang asing dan pelarian termasuk orang-orang tanpa kewarganegaraan di negara ini juga tidak dilupakan dan diberi kepentingan sama dengan pemeriksaan kesihatan percuma serta rawatan perubatan berkaitan Covid-19 yang disediakan untuk semua warganegara asing, tanpa mengira status imigrasi mereka,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN