JOHOR BAHRU : Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memperbaharui memorandum persefahaman (MoU) dengan Universitas Indonesia (UI) bagi meningkatkan hubungan dan kerjasama baik yang terjalin sejak 2014.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail berkata, MoU antara UTM dan Ul perlu untuk disambung semula agar kerjasama yang dibuat sebelum ini dapat berjalan lancar.
Katanya, kerjasama UTM dengan Indonesia bermula ketika UTM masih bernama Institut Teknologi Kebangsaan pada awal tahun 1970-an, dan dibantu oleh pensyarah-pensyarah yang didatangkan dari Indonesia.
“Pada tahun ini, kedua-dua universiti bersetuju bekerjasama lebih erat dalam penyelidikan dan pembangunan, meningkatkan program pertukaran staf dan pelajar merangkumi lawatan sambil belajar.
“Kerjasama antara kedua-dua universiti turut melibatkan bagi menjalankan penyelidikan dan menyelia projek pelajar, program kerjasama seminar, kolokium dan perbincangan akademik,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan UI secara dalam talian di Bangunan Canselori, Sultan Ibrahim, di sini hari ini.
UTM diwakili Ahmad Fauzi manakala UI diwakili Timbalan Rektor (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr. Abdul Haris.
MoU itu disaksikan oleh Pro-Naib Canselor (Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd. Ismid Md. Said; Pengerusi, Resource Sustainability Research Alliance dan Prof. Dr. Haslenda Hashim daripada UTM serta Setiausaha Universiti UI, Dr. Agustin Kusumayati dan pegawai kanan UI.
Ahmad Fauzi berkata, secara dasarnya, kedua-dua pihak menyedari bahawa kerjasama perlu dilanjutkan bagi mengeratkan kerjasama penyelidikan dan pembelajaran dalam bidang sains dan kejuruteraan.
Katanya, sejak 2008, UTM dan UI aktif mengadakan persidangan bersama dalam bidang termofluid “The International Meeting on Advances in Thermofluids (IMAT)” yang pertama kali diadakan di UTM dan terakhir di Bali, Indonesia pada 2018.
“Perbincangan juga diadakan antara Ibnu Sina Institute for Scientific and Industrial Research, UTM dengan Fakulti Kesihatan Masyarakat, UI membincangkan kerjasama antara UTM dengan Ul dalam bidang big data analytic ,” katanya. -UTUSAN