ALOR GAJAH: Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus mengorak langkah dalam bidang penyelidikan teknologi apabila melakukan kajian terbaharu terhadap Stretchable Conductive Ink (SCI) yang mampu memenuhi permintaan tinggi dalam industri elektronik bertaraf global.
Lebih membanggakan, penyelidikan itu dibiayai menerusi geran industri bernilai RM1.2 juta yang dianugerahkan oleh Collaborative Research In Engineering, Science And Technology Center (CREST) kepada UTeM dengan rakan industri,Top Empire Sdn. Bhd.
Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Dr. Raha Abdul Rahim berkata, projek penyelidikan tersebut adalah salah satu pencapaian berprestij universiti berkenaan yang diberi kepercayaan bagi menjayakan projek industri berimpak sehingga taraf global.
Kata beliau, geran industri dari CREST juga sukar diperoleh mana-mana universiti dalam negara ini apatah lagi untuk menjayakan misi mendapatkan teknologi terbaharu bagi memberikan sinar dalam sektor industri elektronik dunia.
“Jika dirungkai perspektif cabaran, maka tidak dinafikan ia adalah cabaran hebat bagi mendapatkan penemuan terbaharu bahan termaju ini yang mana impaknya sekali gus dapat mewarnai sektor elektronik secara bersepadu.
“Lantaran itu, SCI mendapat permintaan yang semakin meningkat kerana fleksibiliti dan kemampuan pengeluarannya yang tinggi sambil mengekalkan kekonduksian pada tahap tinggi,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Dr. Raha berkata, keyakinan diletakkan kepada pasukan penyelidik UTeM yang menterjemahkan kepakaran mereka bagi mencapai objektif penyelidikan bahan termaju itu untuk kegunaan industri elektronik yang sedang berkembang pesat selari Revolusi Industri 4.0.
Katanya, misi penyelidikan berkenaan diketuai oleh Ketua Penyelidik, Prof. Dr. Ghazali Omar bersama Penyelaras Projek, Dr. Siti Hajar Sheikh Md. Fadzullah serta ahli kumpulan penyelidik berpengalaman UTeM.
Terdahulu, kata beliau, UTeM mengikat kerjasama strategik bersama dengan CREST yang merupakan badan konsortium yang mendapat suntikan dana daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI) dan Top Empire menerusi pemeteraian memorandum perjanjian (MoA). – UTUSAN ONLINE