PUTRAJAYA: UMNO meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat dan mendedahkan segera parti politik yang didakwa bersekongkol dalam kartel daging sejuk beku serta menyalahguankan logo halal dengan niat menjatuhkan industri daging tempatan.
Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor berkata, sebelum ini parti politik pembangkang banyak menabur fitnah kepada kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu sehingga memberi persepsi salah kepada rakyat.
Sambil mengalu-alukan laporan polis yang dibuat oleh Jaringan Melayu Malaysia (JMM) mengenai perkara itu, beliau berkata, namun pihaknya belum jelas parti manakah yang dimaksudkan NGO tersebut.
“Dari sidang akhbar yang kami dengar, JMM kata parti politik itu juga terbabit dalam usaha menjatuhkan Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC).
“Jadi, ini mesti kerja parti pembangkang. Namun, persoalannya adalah parti politik yang mana satu kerana ini adalah perkara yang sangat penting untuk negara khususnya umat Islam di negara ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
JMM kelmarin membuat laporan polis supaya pihak berkuasa itu menyiasat penglibatan parti politik dan sekutunya yang didakwa bersekongkol dengan pihak kartel daging sejuk beku untuk terus menguasai pasaran negara ini.
Ini termasuk pembabitan ahli politik dipercayai turut bekerjasama dengan pihak kartel itu dengan cara menghalang tertubuhnya syarikat Melayu bumiputera di bawah kerajaan seperti NFC.
Sementara itu, seorang lagi Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii berkata, siasatan isu berkenaan amat penting tidak mengira siapa dalang itu sama ada melibatkan orang politik, orang kenamaan atau sesiapa sahaja yang melindungi kartel daging sejuk beku ini.
Katanya, siasatan juga perlu dilakukan adakah wujudnya orang perantaraan termasuk dalam kalangan agensi penguatkuasaan yang membenarkan daging sejuk beku itu dibawa masuk dalam negara dengan mudah.
“Rangkaian ini sudah lama berada dalam negara dan mesti diputuskan bukan hanya kita nak cari siapa yang bersubahat untuk dibawa ke muka pengadilan.
“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna juga perlu menarik balik daging-daging yang sudah ada di pasaran ini. Kita khuatir ada juga pihak yang menghalang agar daging-daging ini tidak ditarik balik kerana telah menyalahi undang-undang.
“Selain melibatkan isu halal dan haram, ia perlu ditangani kerana membabitkan ketirisan hasil negara kerana dibawa masuk tanpa membayar duti cukai yang sepatutnya,” katanya. – UTUSAN ONLINE