ALOR GAJAH: Seorang wanita cemas apabila seekor ular bertaring jenis Tiung Cincin Emas merayap atas perutnya ketika sedang tidur di rumahnya di Kampung Ulur, Sungai Buluh di sini lewat pagi tadi.
Menurut Nurul Atikah Ismail, 31, dalam kejadian pukul 3.40 pagi itu, dia terjaga kerana berasa ada sesuatu yang sejuk bergerak di atas perutnya sebelum menjerit meminta tolong.
“Pada awalnya ibu ingat saya mengigau, namun selepas ternampak haiwan berbisa itu terus dia menghubungi sepupu yang tinggal berhampiran.
“Sepupu saya datang menghalau ular itu dan saya cepat-cepat mengunci pintu bilik tidur kerana takut ular itu keluar ke ruang tamu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, ibu Nurul Atikah, Rohana Jaafar, 63, berkata, dia bersyukur anaknya tidak dipatuk ular berkenaan.
“Saya mendengar Nurul Atikah menjerit beritahu ada ular di atas perutnya, namun saya ingat dia mengigau kepenatan kerana baru pulang dari bekerja di Kuala Lumpur,” katanya.
Jelasnya, ular itu ditangkap dengan bantuan sepasukan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Alor Gajah.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Alor Gajah, Kapten (PA) Aljibin Suddin berkata, seramai empat anggota APM ditugaskan melakukan operasi menangkap reptilia itu sejurus menerima panggilan pada pukul 3.51 pagi.
Katanya, anggotanya terpaksa menunggu 15 minit sebelum dapat memasuki bilik yang berkunci untuk menangkap ular spesis Tiung Cincin Emas yang jarang ditemui dan aktif pada waktu malam.
“Ular itu kemudian ditemui berlingkar di atas besi langsir dan cuba keluar melalui lubang angin, namun berjaya ditangkap sebelum dilepaskan ke habitat asal yang jauh daripada penempatan penduduk,” katanya. – UTUSAN