Ugut pengusaha vape: SPRM buat laporan polis - Utusan Malaysia

Ugut pengusaha vape: SPRM buat laporan polis

ABDUL HAMID BADOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Satu laporan polis dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan seorang pengusaha vape dikatakan diugut individu bergelar Datuk bersama pegawai SPRM ketika ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kes Macau Scam, Oktober lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador memberitahu Utusan Malaysia, laporan polis itu dibuat pihak SPRM kira-kira pukul 10 pagi ini berhubung dakwaan itu.

“Pihak SPRM juga ada membuat laporan pagi,” katanya ringkas.

Sebuah akhbar tempatan hari ini melaporkan, lelaki terbabit yang berusia 32 tahun memaklumkan rumahnya di Taman Melawati di sini, diserbu pihak SPRM, kira-kira 7 pagi pada 2 Oktober lalu.

Dalam serbuan itu, bilik tidur lelaki berkenaan didakwa telah digeledah dan barangan seperti telefon bimbit, iPad, beberapa fail serta dokumen, empat beg berjenama serta wang tunai berjumlah RM1.7 juta dirampas.

Lapor akhbar itu yang memetik kenyataan sumber mendedahkan lelaki itu kemudian dibawa ke pejabat SPRM Putrajaya untuk soal siasat berkaitan kes Macau Scam dan hubungannya dengan individu bernama Addy Kanna.

Ketika soal siasat dilakukan, pegawai SPRM dikatakan mengugut untuk menahan reman ibu lelaki terbabit jika dia tidak mahu mengaku terbabit dengan Macau Scam dan Addy Kanna.

Dakwanya, ketika disoal siasat, seorang individu bergelar Datuk mengugut lelaki itu supaya menyerahkan tiga kenderaan miliknya dan wang tunai sebanyak RM20 juta, serta berkongsi hasil perniagaan kilang perabot milik mangsa.

Lapor akhbar itu lagi, ugutan itu kononnya bagi mengelak lelaki itu daripada dikenakan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

Akibat takut dengan ugutan itu, lelaki itu dikatakan bersetuju memberi dua kenderaan miliknya kepada Datuk terbabit dan meminta masa berfikir berkenaan perkongsian kilang perabot serta meminta melepaskan semua barang kemas dan lain-lain milik ibunya yang turut disita oleh pihak SPRM. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN