SEREMBAN: Seramai tujuh remaja lelaki ditahan polis kerana melakukan aksi berbahaya semasa menunggang motosikal selain didapati positif dadah dalam Op Samseng Jalanan di Jalan Persiaran Tasik Senangin, Mahkota Hill, Lenggeng dekat sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Mohd. Fazley Ab. Rahman berkata, dalam operasi pada pukul 5 petang itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai menahan 76 buah motosikal atas pelbagai kesalahan.
Katanya, hasil risikan dan intipan di lokasi mendapati terdapat sekumpulan penunggang yang melakukan aksi berbahaya di atas motosikal dan bersaing sesama sendiri yang boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya lain.
“Dalam operasi ini, tujuh remaja lelaki berusia antara 15 tahun hingga 18 tahun ditahan yang mana empat daripada mereka ditahan atas kesalahan menunggang motosikal dengan aksi berbahaya (disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Tiga lagi didapati positif dadah hasil ujian air kencing dan disiasat di bawah Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jelas Mohd. Fazley, sepanjang operasi yang dijalankan itu, polis mengeluarkan sebanyak 327 saman atas 350 kesalahan yang dilakukan.
“Daripada jumlah yang ditahan, sebanyak 18 buah motosikal disita dan dibawa ke Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik IPD Nilai untuk tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN ONLINE