Tidak puas hati punca penarik kereta ditetak - Utusan Malaysia

Tidak puas hati punca penarik kereta ditetak

AYOB KHAN MYDIN PITCHAY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang penarik kereta ditemukan mati di dalam longkang di Kilometer 40.1 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Sedenak, Kulai dekat sini dalam kejadian Ahad lalu.

Mangsa yang dikenali sebagai Ram, 34 tahun itu ditemukan meninggal dunia dalam keadaan terbaring dengan beberapa tetakan dan kecederaan pada anggota badan serta kepala.

Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa bersama seorang lagi rakannya menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Velfire dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur.

Mereka dipercayai baru sahaja menarik kenderaan terbabit selepas pemiliknya gagal membayar ansuran bulanan kepada bank.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, hasil siasatan mendapati motif kes ini adalah berkaitan dengan isu rasa tidak puas hati tentang pembayaran kenderaan yang dibeli dan lari daripada pihak bank. 

Beliau berkata, sepasukan polis dari Pasukan Khas (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor membuat serbuan di Bakri, Muar pada 12.15 tengah malam tadi berdasarkan maklumat dua ahli geng kongsi gelap Ngo Seik Kee yang ditahan pada Ahad lalu di tempat kejadian. 

Katanya, dalam serbuan itu, pihaknya menahan 10 individu dipercayai daripada geng kongsi gelap Ngo Seik Kee berusia lingkungan 17 hingga 31 tahun. 

“Ini menjadikan keseluruhan seramai 12 ahli geng kongsi gelap Ngo Seik Kee ditangkap. Polis Johor yakin akan dapat menyelesaikan kes ini.

“Kesemua tangkapan mempunyai rekod lampau bersabit kesalahan dadah dan jenayah. Polis Johor sedang mengesan beberapa lagi rakan penjenayah yang masih bebas,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Ayob Khan berkata, kesemua mereka akan dimohon reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi menjalankan siasatan lanjut.

“Polis Johor menasihatkan pihak-pihak yang terlibat supaya tidak mengambil tindakan sendiri dan menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan. 

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak terlibat dengan tawaran pembelian kenderaan murah yang lari daripada pembayaran pihak bank oleh individu tertentu kerana kenderaan tersebut kebiasaannya mempunyai kaitan dengan aktiviti untuk medapatkan perlindungan daripada kongsi gelap,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya