Tiada sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Selangor - Utusan Malaysia

Tiada sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Selangor

SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Tiada sebarang acara atau sambutan sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-75 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah esok.

Sultan Selangor bertitah, baginda tidak mengadakan sebarang istiadat tahun ini berikutan keadaan negara berhadapan dengan pandemik Covid-19.

“Beta mengambil keputusan untuk tidak mengadakan sebarang istiadat semasa Hari Keputeraan tahun ini.

“Namun, Istiadat Penganugerahan dan Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran Negeri Selangor dilaksanakan pada tarikh yang akan ditetapkan bergantung kepada keadaan semasa pandemik Covid-19 ini,” titah baginda.

Seramai 31 individu daripada 1,096 pencalonan dipilih menerima darjah dan bintang kebesaran sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Selangor.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Amin Ahmad Ahya berkata, dua individu menerima darjah kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S) yang membawa gelaran ‘Datuk Seri’ dan ‘Datin Paduka Seri’ bagi wanita.

Menurut beliau, bagi darjah kebesaran Datuk Setia-Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.S.I.S) pula, dua individu dipilih dan membawa gelaran ‘Datuk Setia’ bagi lelaki serta ‘Datin Paduka Setia’ bagi wanita.

“Seramai 27 individu menerima darjah kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S) dan darjah kebesaran Datuk-Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S). Kedua-dua darjah kebesaran itu membawa gelaran ‘Datuk’ bagi lelaki dan ‘Datin Paduka’ bagi wanita.

“Sementara itu, seramai 147 individu pula menerima darjah dan bintang kebesaran lain-lain. Semua penerima melepasi tapisan keselamatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) (Keselamatan dan Jenayah), Jabatan Insolvensi dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN