MELAKA: Meskipun perayaan Hari Krismas tahun ini disambut secara sederhana oleh masyarakat Perkampungan Portugis dekat sini, orang ramai tetap mengunjungi kawasan itu untuk melihat hiasan lampu dan pokok krismas yang dipasang penduduk.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, pengunjung pelbagai bangsa mula memenuhi perkampungan itu seawal pukul 8 malam walaupun tiada persembahan nyanyian dan muzikal tradisional seperti kebiasaan.
Bagaimanapun, jumlah pengunjung kali ini diakui berkurangan hampir separuh berbanding tahun-tahun sebelum ini yang berkemungkinan disebabkan pandemik Covid-19 masih tinggi di negara ini.
Seorang pengunjung, Azrina Abd. Rahman, 46, berkata, walaupun tiada sambutan di pentas utama seperti kebiasaan, dia tidak mahu melepaskan peluang melihat hiasan lampu yang dihias di 118 rumah di situ.
Katanya, setiap tahun dia berkunjung ke Perkampungan Portugis memandangkan sambutan seumpama itu hanya sekali setahun dan semakin lapuk ditelan zaman.
“Kehadiran pengunjung nampak sedikit berkurangan pada tahun ini, malah tiada alunan muzik dan persembahan tarian di pentas utama, tetapi kemeriahannya tetap dirasai,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Sementara itu, Tay Hock Lee, 46, berkata, meskipun bimbang untuk berada di tempat sesak tetapi dia mengambil langkah berjaga-jaga untuk membawa anak-anaknya bergambar berlatarbelakangkan rumah yang dihias cantik.
Ujarnya, perbezaan ketara dapat dilihat pada tahun ini apabila tiada kesesakan lalu lintas yang jauh berbanding tahun-tahun sebelumnya yang sukar untuk meletak kenderaan mereka.
“Saya nampak anggota polis, Rela dan sebagainya ada berkawal di sini yang mungkin mahu memastikan setiap prosedur standard operasi (SOP) sentiasa dipatuhi,” katanya.
Bagi pelancong dari Tanjung Malim, Perak, S. Suguna, 49, dia tetap teruja melihat limpahan cahaya lampu perhiasan yang digantung pada setiap rumah ketika pertama kali menjejakkan kaki ke perkampungan itu.
Ujarnya, mereka sekeluarga memilih Melaka sebagai destinasi percutian hujung tahun dan bercadang untuk melihat sambutan Krismas di Perkampungan Portugis sebagai salah satu agenda percutian.
“Sebelum ini, saya hanya melihat hiasan pokok krismas dan lampu-lampu di pusat beli belah sahaja tetapi nampaknya saya lebih seronok melihat hiasan itu di setiap rumah penduduk yang menyambut perayaan Hari Natal secara tradisional di sini,” katanya. – UTUSAN ONLINE