KUALA LUMPUR: Tentera Darat sentiasa bersiap siaga mempertahan kedaulatan negara dan menyalurkan bantuan kepada pasukan keselamatan yang lain walaupun dilihat sebagai ‘benteng terakhir’ negara.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd. Zain berkata, meskipun pasukan tersebut dianggap sebagai pelapis simpanan yang terakhir, anggota tentera perlu sentiasa sedia menyusun atur gerakan pada bila-bila masa.
“Tugas hakiki kita adalah dalam perang konvensional. Kita sebagai ‘pemain simpanan’ yang kita sendiri tidak tahu bila diperlukan. Namun kita juga barisan akhir yang menentukan sama ada negara kita aman atau tidak.
“Oleh itu, setiap pegawai dan anggota Tentera Darat perlu mahir dalam melaksanakan tugas itu di samping membantu agensi keselamatan yang lain,” katanya selepas menyempurnakan Perbarisan Pengisytiharan Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (1 RRD) sebagai Batalion Infantri Istiadat di Padang Kawad 1 RRD, Kem Wardieburn, di sini hari ini.
Perbarisan yang disertai 12 pegawai dan 227 anggota daripada 1 RRD itu turut melakukan pelbagai demonstrasi termasuk Kawad Menyuraikan Rusuhan (POPO) yang diformasikan bagi membantu pihak berkuasa menyuraikan rusuhan sekali gus memulihkan keamanan.
Sementara itu, datam satu kenyataan, pasukan 1 RRD yang merupakan Batalion Infantri Standard sebelum ini telah melaksanakan penugasan istiadat bagi membantu Briged Kedua Belas Infantri sejak tahun 2001.
Transformasi pasukan 1 RRD kepada Batalion Istiadat adalah cetusan Panglima Tentera Darat setelah mengambil kira pengalaman dan kejayaan pasukan tersebut dalam menyempurnakan penugasan istiadat. – UTUSAN ONLINE