Tembak PGA: Reman tiga warga Thailand disambung - Utusan Malaysia

Tembak PGA: Reman tiga warga Thailand disambung

TIGA lelaki warga Thailand yang ditahan bagi membantu siasatan insiden tembakan yang mengorbankan anggota PGA  di sempadan Malaysia-Thailand disambung reman tujuh hari lagi sehingga 8 Disember ini di Kompleks Mahkamah Kangar, Perlis. hari ini- UTUSAN/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Polis mendapatkan perintah melanjutkan tempoh reman selama tujuh hari terhadap tiga lelaki warga Thailand berhubung insiden tembakan di sempadan negara yang mengorbankan seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dan mencederakan seorang lagi hari ini.

Kesemua suspek tiba di Kompleks Mahkamah Kangar pada pukul 9.05 pagi sambil dikawal ketat anggota polis dan proses sambung reman selesai kira-kira lima minit kemudian.

Perintah  sambung reman tersebut dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Kangar, Siti Nor Hasliza Md Ali di bilik reman Kompleks Mahkamah Kangar.

Suspek yang berumur antara 34, 35 dan 38 tahun tersebut direman sejak Rabu lalu dan perintah tersebut tamat pada hari ini.

Turut direman bersama mereka Rabu lalu adalah 15 lelaki tempatan bagi membantu melengkapkan siasatan polis.

Sementara itu, Ketua Polis negeri, Datuk Surina Saad berkata, tindakan susulan akan diambil terhadap 15 suspek warga tempatan yang tempoh reman akan tamat esok.

“Walaupun reman sudah tamat, mereka tidak akan dilepaskan. Kita akan ada tindakan susulan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas mengenai rundingan membawa pulang tiga lagi suspek warga Thailand yang kini ditahan pihak berkuasa negara itu, pihaknya masih menunggu keputusan polis Thailand bagi membantu melengkapkan siasatan.

Pada 24 November lalu, Sarjan Baharuddin Ramli, 54, terkorban dalam pertempuran dengan 13 penyeludup ketum kira-kira 600 meter dari tembok sempadan Malaysia-Thailand berhampiran pos kawalan TS9 dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi.

Sementara itu, Sarjan Norihan Tari, 39, cedera kerana ditembak di paru-paru dan perut kini mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Rentetan itu, polis sudah menahan 22 lelaki termasuk empat warga Thailand bagi membantu siasatan kes tersebut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN