Tembak PGA: 52 suspek direman bawah SOSMA - Utusan Malaysia

Tembak PGA: 52 suspek direman bawah SOSMA

SURINA SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Seramai 52 suspek yang sebelum ini ditahan berhubung siasatan kejadian tembakan yang mengorbankan seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di sempadan Malaysia-Thailand, direman 28 hari di bawah Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Ketua Polis negeri, Datuk Surina Saad berkata, 22 suspek direman hari ini manakala selebihnya esok mengikut akta yang sama.

Katanya, kesemua suspek itu melibatkan 48 lelaki warga tempatan dan empat warga Thailand yang berusia antara 20 tahun hingga 65 tahun.

“Jumlah keseluruhan tangkapan yang berkaitan kes ini adalah 53 orang. Bagaimanapun, seorang daripadanya yang ditahan di Padang Besar dibebaskan kerana tidak terlibat dan menjadi saksi pendakwaan.

“Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 130 V Kanun Keseksaan, BAB VIB Jenayah Terancang. Jika disabit kesalahan boleh dipenjara hingga 20 tahun.

“Bagi tiga lagi suspek yang ditahan di Thailand, laporan polis dibuat oleh Pegawai Perhubungan Polis Malaysia (MPLO) di Thailand untuk tindakan membawa balik ke sini. Mereka adalah suspek utama dan diharap dibawa balik dan dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, Surina memberitahu, polis akan terus melakukan tangkapan bagi melengkapkan siasatan.

Menurut beliau, tujuh suspek baharu ditahan hujung minggu lalu iaitu seorang pada Sabtu dan enam orang pada Ahad.

Pada 24 November lalu, Sarjan Baharuddin Ramli, 54, terkorban dalam pertempuran dengan 13 penyeludup ketum kira-kira 600 meter dari tembok sempadan negara berhampiran pos kawalan TS9, Padang Besar.

Rentetan itu, polis giat memburu suspek bagi membantu siasatan terbabit dan turut menahan empat warga Thailand. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya