Takut Covid-19, Orang Asli  bina sekatan  - Utusan Malaysia

Takut Covid-19, Orang Asli  bina sekatan 

Orang Asi melakukan sekatan keluar masuk ke Pos Tuel, Gua Musang pada 9 Disember 2020. - UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Orang Asli suku kaum Temiar di Pos Tuel di sini meneruskan sekatan jalan bagi mengelak orang luar  masuk ke kampung mereka kerana `takut’ dijangkiti Covid-19.

Penduduk di situ bersepakat  terus membuat sekatan di jalan masuk ke penempatan mereka walaupun Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) telah berakhir 6 Disember.

Penghulu Pos Tuel, Halim Shariff berkata, keliling kampung itu dibina palang kayu bagi memantau dan menyekat pergerakan orang luar.

Katanya, masyarakat Orang Asli walaupun tinggal di kawasan pedalaman sangat bimbang dengan ancaman Covid-19 selepas melihat bilangan individu yang positif terus meningkat sehingga 1,000 kes setiap hari.

“Kita melakukan sekatan jalan masuk ke kampung dengan dikawal dua penduduk yang akan berjaga bergilir-gilir mulai pukul 8 pagi hingga 6.30 petang setiap hari.

“Selepas pukul 6.30 petang laluan jalan masuk ke kampung ini ditutup. Penduduk sendiri juga tidak dibenarkan keluar masuk demi menjaga keselamatan diri dan keluarga. 

“Mereka hanya dibenarkan keluar jika berlaku kecemasan seperti menerima rawatan di hospital,” katanya ketika ditemui di Pos Tuel di sini hari ini. 

Halim memberitahu, penduduk Orang Asli risau apabila ramai orang  luar menggunakan jalan kampung mereka untuk menuju ke ladang. 

Katanya, sejak diadakan sekatan dua bulan lalu belum berlaku kejadian tidak diingini, malah mereka berasa lebih selamat.

Sementara itu, seorang penduduk Sita Ali, 18, berkata, dia bertugas mengikut arahan ketua kampung apabila perlu memantau orang yang keluar masuk ke kampung tersebut.

Katanya, sebelum ini ada orang luar bebas keluar dan masuk kampung tanpa mengira waktu.

“Setakat ini belum ada yang degil dan ingkar peraturan ditetapkan dan mereka mengikut peraturan.

“Saya bersama seorang lagi rakan akan bergilir-gilir menjaga sekatan sehinggalah wabak Covid-19 ini reda,” katanya.

Difahamkan setakat ini tiada Orang Asli di penempatan ini dijangkiti Covid-19. Pos Tuel didiami kira-kira 1,000 penduduk. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN