Suspek pecah rumah miliki tiga rekod lampau ditangkap - Utusan Malaysia

Suspek pecah rumah miliki tiga rekod lampau ditangkap

ALAT yang dipercayai digunakan suspek untuk menjalankan kegiatan pecah rumah di sekitar Seberang Perai, Pulau Pinang yang dirampas polis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Suspek pecah rumah miliki tiga rekod lampau ditangkap

ISWAN SHAFIQ ISA/PIX

BUKIT MERTAJAM: Polis percaya penangkapan seorang suspek yang mempunyai tiga rekod lampau dalam kes pecah rumah, Sabtu lalu membantu menyelesaikan sekurang-kurangnya 15 kes pecah kedai dan farmasi antara September hingga awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd. Samad berkata, kesemua kes pecah rumah itu melibatkan tiga daerah di Seberang Perai iaitu Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Selatan (SPS).

Terdahulu, katanya, polis menerima aduan daripada seorang pengurus premis pada pukul 8.30 pagi 30 November lalu mendakwa premisnya di Jalan Rozhan, di sini, dipecah masuk.

“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat beberapa barangan yang hilang dalam kejadian itu termasuk seunit iPad, iPad mini, telefon bimbit Samsung model A50 serta beberapa kotak rokok pelbagai jenama.

“Suspek yang berusia 40-an itu bagaimanapun ditahan tidak lama selepas itu susulan risikan dan siasatan yang dijalankan oleh Cawangan D9, Bahagian Siasatan Jenayah ibu pejabat polis daerah (IPD) SPT,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Jelas Shafee, semasa tangkapan dibuat, beberapa peralatan yang dipercayai digunakan suspek untuk melakukan jenayah termasuk sepasang sarung tangan, pemotong besi yang boleh dileraikan, pahat serta pemutar skru turut dirampas.

“Semakan lanjut mendapati, suspek baru sahaja selesai menjalani perintah pengawasan polis di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) di Kampar, Perak selama dua tahun,” katanya.

Tambahnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah kedai yang jika sabit kesalahan boleh didenda dan dipenjara sehingga lima tahun. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN