TANJUNG MALIM: Pasangan suami isteri maut selepas motosikal mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 363.9 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan, di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 1 petang itu, Mohamad Nazrul Ismail, 41, rentung di lokasi kejadian manakala isterinya, Norwahidah Ahmad, 34, meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Slim River.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, kemalangan itu melibatkan motosikal jenis Yamaha XMax ditunggang mangsa dengan sebuah kereta jenis Toyota Altis.
Katanya, siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila kereta yang dipandu lelaki berusia 40 tahun dari arah utara ke Johor itu hilang kawalan dan terbabas ke lorong kanan.
“Kereta itu terlanggar besi pembahagi tengah menyebabkan kenderaan tersebut melintang di tengah jalan.
“Dalam masa sama, motosikal mangsa tidak sempat mengelak dan terlanggar pintu belakang kiri kereta tersebut sebelum kedua-dua kenderaan itu terbakar,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, kedua-dua mangsa cedera parah namun penunggang motosikal disahkan maut di tempat kejadian manakala isterinya meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.
“Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Slim River untuk bedah siasat dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) negeri berkata, dua buah jentera dengan sembilan anggota dihantar ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 1 petang.
Katanya, setibanya di lokasi, didapati api sedang marak dengan terdapat seorang mangsa sedang terbakar.
“Anggota memadam api menggunakan dua aliran ‘hose reel’ dan mangsa yang rentung diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN ONLINE