Spiderman, Batman layan pelanggan kedai cendol - Utusan Malaysia

Spiderman, Batman layan pelanggan kedai cendol

MUHAMMAD Razi Muhammad Rafiq (tengah) bersama dua pekerjanya yang memakai kostum adiwira Batman dan Spiderman di depan Restoran Haji Baba, Bandar Sri Sendayan, Seremban. - UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Jika orang ramai berkunjung ke Restoran Haji Baba di Bandar Sri Sendayan dekat sini, jangan terkejut sekiranya dua adiwira iaitu Spiderman dan Batman yang menghantar makanan dipesan.

Kedua-dua adiwira tersebut ditampilkan pemilik restoran, Muhammad Razi Muhammad Rafiq, 27, bagi menarik perhatian pengunjung terutama kanak-kanak ke restorannya yang menawarkan pelbagai makanan bercitarasa tempatan seperti nasi lemak, mi goreng, mi kari rojak dan cendol.

Muhammad Razi berkata, perlu ada satu daya tarikan lebih-lebih lagi ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula November lalu kerana kebanyakan ibu bapa bimbang untuk membawa anak-anak keluar dari rumah.

“Timbul idea menggunakan khidmat individu memakai kostum adiwira ini untuk menghantar makanan kepada pelanggan. Cara ini dilihat lebih menarik perhatian pelanggan selain mereka yang makan di kedai juga dapat bergambar dengan Batman dan Spiderman ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kedainya baru-baru ini.

Menurut Muhammad Razi, Restoran Haji Baba dibuka pada 10 Oktober lalu dengan menu menjadi tarikan utama adalah cendol yang menggunakan gula enau asli selain mi kari bercitarasa Cina.

“Sebanyak enam jenis cendol iaitu cendol asli, cendol gula enau, cendol jagung, cendol kacang, cendol pulut, cendol durian dan ais batu campur (ABC) ditawarkan pada harga serendah RM2.50 hingga RM6.50,” katanya.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Profesional Komunikasi dari Universiti Lim Kok Wing itu memberitahu, dia membuka restoran dengan modal sebanyak RM100,000.

“Kawasan ini dilihat masih tiada restoran yang menjual cendol dan makanan seperti rojak. Saya berharap dapat membuka lebih banyak cawangan pada masa akan datang,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya