JOHOR BAHRU: Allahyarham Tan Sri Mohamad Aziz adalah seorang bapa dan datuk yang memiliki perwatakan penyayang meskipun menampilkan imej garang di pentas politik.
Anak Allahyarham, Shukur Mohamad berkata, pelbagai pihak sama ada rakan atau lawan mengenali Mohamad, 80, sebagai pemimpin yang tegas sehingga digelar ‘Singa Selatan’.
Bagaimanapun, katanya, jika mereka mengenali beliau dengan rapat khususnya dalam kalangan ahli keluarga, Allahyarham adalah seorang yang mesra dan mudah didekati.
“Abah saya di luar orang kenal sebagai seseorang digeruni kerana garang, banyak gelaran diberi kepadanya termasuk ‘Singa Selatan’, namun di rumah dia yang paling ‘sporting’.
“Apa yang dilihat di luar tidak sama seperti di rumah, siapa yang kenal dia rapat akan tahu macam mana orangnya,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Taman Nong Chik di sini hari ini.
Allahyarham yang merupakan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor menghembuskan nafas terakhir pada pukul 9.50 malam tadi selepas mendapat rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI) sejak lima hari lalu.
Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke kediamannya untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Aliff, di sini pada pukul 10 pagi ini.
Menurut Shukur, pihaknya mewakili ahli keluarga Allahyarham memohon maaf atas salah silap dilakukannya sepanjang tempoh berkhidmat khususnya dalam arena politik tanah air.
“Biasalah orang politik ini, apabila bercakap kadangkala bahasa dia (agak kasar), tetapi dia berniat baik.
“Mewakili keluarga saya mohon maaf atas salah silap yang beliau pernah lakukan, sekiranya ada hutang piutang bolehlah bertemu kami. Kami akan cuba langsaikan,” kata anak sulung daripada sembilan beradik itu.
Shukur memberitahu, Allahyarham selalu berpesan kepada keluarganya untuk tidak meninggalkan solat, menjaga hubungan silaturrahim selain menghormati alim ulama.
Allahyarham memiliki pengalaman luas dalam bidang politik dan pernah berkhidmat selama 14 tahun sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani bermula 1986 hingga 1999.
Beliau kemudian menggalas tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen Sri Gading antara 1999 hingga 2013, selain pernah dilantik sebagai Speaker DUN Johor pada 2013.
Allahyarham juga berpengalaman dalam pentadbiran kerajaan Johor apabila pernah menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial dan Kebajikan Masyarakat negeri pada 1990 hingga 1995.
Selain itu, beliau pernah menjadi Ketua Penerangan Tugas-Tugas Khas Kerajaan Negeri Johor pada 1995 hingga 1999.
Dalam politik, Allahyarham pernah menyandang jawatan Timbalan Pengerusi Tetap UMNO, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sri Gading dan Ketua UMNO Bahagian Sri Gading. – UTUSAN ONLINE