Shabudin salah tanda undian belah bahagian MOF - Utusan Malaysia

Shabudin salah tanda undian belah bahagian MOF

MOHD. RASHID HASNON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini dimaklumkan berlaku sedikit kesilapan dalam pengiraan undi belah bahagian Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2021 peringkat jawatan kuasa bagi Kementerian Kewangan (MOF) semalam.

Pengumuman yang dibuat Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon itu menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan blok pembangkang.

Mohd. Rashid ketika membacakan pengumuman daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, Datuk Shabudin Yahaya (Bersatu-Tasek Gelugor) telah tersilap menandakan persetujuan daripada Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (BN-Padang Rengas) meskipun beliau tidak hadir dalam sesi pengundian.

Katanya lagi, meskipun begitu, apa yang terjadi tidak mengubah sebarang keputusan berikutan yang menyokong masih mempunyai 106 majoriti.

“Beliau (Shabudin) adalah penghitung bagi blok C memaklumkan bahawa beliau tersilap menandakan Yang Berhormat (YB) Padang Rengas bersetuju dalam senarai undi, walaupun sebenarnya YB Padang Rengas tidak hadir semasa undian yang kedua semalam.

“Dan 107 ahli bersetuju kurang satu jadi 106 sementera 95 ahli kekal tidak bersetuju, dengan itu saya memerintahkan Setiausaha Dewan Rakyat untuk membetulkan bilangan undi tersebut.

“Dengan perubahan undi tersebut ia tidak menjejaskan keputusan belah bahagian tersebut. Akhirnya saya mengucapkan terima kasih kepada YB Kangar (Noor Amin Ahmad) yang membangkitkan perkara ini pada saya,” katanya.

RUU Perbekalan MOF dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) lulus di peringkat jawatan kuasa menerusi proses undian belah bahagian di Dewan Rakyat di sini, semalam.

Proses undi bahagian dibuat selepas lebih 15 ahli Parlimen bangun menyokong supaya RUU itu diputuskan menerusi kaedah berkenaan.

Dalam undian pertama membabitkan JPM, sejumlah 105 undi menyokong, 95 tidak bersetuju manakala 20 ahli Parlimen tidak hadir. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN