Sempadan: Polis, tentera laku rondaan bersama  - Utusan Malaysia

Sempadan: Polis, tentera laku rondaan bersama 

ANGGOTA tentera melakukan rondaan secara berpasukan dan memeriksa pagar sempadan bagi memastikan tiada lorong tikus yang boleh dibolosi penceroboh dalam Op Pagar II di sempadan Malaysia- Thailand, Bukit Kayu Hitam, Kedah. – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU:  Polis dan tentera akan sama-sama melakukan rondaan keselamatan di sempadan Malaysia dan Thailand bermula tahun depan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, rondaan  di bawah Ops Benteng diyakini saling melengkapi terutamanya dari segi perundangan antara satu sama lain.

Menurut beliau, agensi terlibat ketika ini melakukan rondaan keselamatan mengikut pembahagian kawasan.

Sebagai contoh, menurut beliau, akta tentera pada masa ini menetapkan askar tiada kuasa menangkap penceroboh kerana kuasa menahan hanya diberikan kepada polis.

“Kuasa tentera tertakluk kepada peperangan apabila melibatkan musuh tetapi PATI dan penyeludup tidak dianggap musuh dalam akta tentera. Maka ada kekangan untuk mereka mengambil tindakan dengan menangkap pesalah terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian  selepas mengadakan lawatan ke Batalion Ke-5 Rejimen Sempadan, Kem Bukit Kayu Hitam dekat sini hari ini.

Turut menyertai lawatan itu ialah  Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd. Aziz, Panglima Tentera Darat, Tan Sri Datuk Zamrose Mohd. Zain dan Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohamad Ab. Rahman.

Justeru, Ismail Sabri berkata,  bermula tahun depan, tiada lagi pembahagian kawasan antara polis dan tentera kerana kedua-dua pasukan itu digabungkan untuk melakukan rondaan secara bersama.

Mengulas lanjut,  beliau berkata, selain polis dan tentera, rondaan tersebut akan turut disertai Agensi Kawalan Sempadan (Aksem).

“Bagi mengukuhkan kawalan sempadan, kita membina dua pos baharu iaitu pos sempadan terkoordinasi di Padang Terap. Di pos tersebut, kita akan melakukan kawalan secara bersama dengan tentera Thailand.

“Di situlah kita akan saling bertukar maklumat dan informasi dengan Thailand,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya