PUTRAJAYA: Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah bakal mempengerusikan Mesyuarat Menteri-menteri Digital ASEAN yang kali pertama dianjurkan.
Kementerian Komunikasi dan Multimedia dalam satu kenyataan memaklumkan, ia dijangka berlangsung dua hari bermula 21 Januari ini dengan bertemakan ‘ASEAN: A Digitally Connected Community’.
“Ini bertujuan memantapkan jalinan kerjasama pembangunan ekosistem digital sebagai tunjang rancangan pembangunan pasca Covid-19,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, penekanan diberikan terhadap usaha perkukuh kepentingan pemusatan dan kesatuan bagi membangunkan komuniti ASEAN dalam bidang keselamatan siber serta perlindungan data peribadi.
Tidak ketinggalan ialah isu 5G, promosi inovasi dan e-dagang selain mengambil peluang bagi memperluas kerjasama dengan Rakan Dialog ASEAN dalam usaha meningkatkan kebijakan bidang ICT.
Di samping itu, katanya, mesyuarat julung kali ini juga mahu mengembangkan sumber daya manusia, meneroka dan menjelajahi teknologi baharu dan kemampuan untuk tangani risiko alam siber.
“ASEAN turut menyedari kepentingan kepercayaan terhadap transaksi secara elektronik sebagai asas utama penggalakkan masyarakat mengadaptasi transformasi digital,” katanya.
Turut sama ialah inisiatif Kerangka Tadbir Urus Data Digital ASEAN dibangunkan bagi rangka tatacara pentadbiran serta kaedah perpindahan data antara kalangan 10 negara blok itu.
Selain itu ujar kenyataan tersebut, mesyuarat berkenaan memberi tumpuan terhadap pembangunan rangkaian 5G di semua negara anggota agar manfaat teknologi itu dapat dinikmati bersama.
Pada masa sama, ia juga jadi forum pertukaran pandangan dan dasar berkaitan penggunaan spektrum bagi tujuan telekomunikasi serta perkara berkaitan industri di rantau Asia Tenggara.
“Mesyuarat ini berhasrat menggalakkan lebih banyak penyertaan dari sektor swasta untuk bersama mengembangkan infrastruktur dan perkhidmatan berkualiti,” kata kenyataan itu. – UTUSAN ONLINE