TANJONG KARANG: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri menerima dua laporan berhubung kehadiran beruang matahari di daerah ini.
Pengarah Perhilitan Selangor, Haidar Khan Mokbolhasan berkata, aduan pertama diterima di kawasan di Kampung Sungai Gulang-Gulang pada Khamis lalu manakala satu lagi di Kampung Sungai Tengi Kanan semalam.
“Siasatan kita mendapati beruang tersebut bergerak dari Hutan Simpan Kekal Raja Musa di Bestari Jaya ke Kampung Sungai Gulang-Gulang, Tanjung Karang sebelum menuju ke Kampung Sungai Tengi Kanan.
“Buat masa ini, kita percaya beruang matahari ini merayau-rayau dan melintasi jalan kampung dan ban canal di Tanjong Karang. Siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam pada itu, jelas Haidar Khan, pihaknya akan terus menjalankan pemantauan kehadiran hidupan liar itu di kawasan tersebut.
“Kita memohon orang awam tidak mengganggu hidupan liar dan memandu kenderaan mematuhi had kelajuan kerana kawasan berkenaan berhampiran kawasan keliaran hidupan liar.
“Sekiranya ada aduan berkaitan hidupan liar, orang awam boleh terus menghubungi Jabatan Perhilitan Selangor di talian 03-55193915,” ujarnya.
Terdahulu, tular di laman sosial Facebook gambar seekor beruang matahari melintasi jalan kampung di ban canal Tanjong Karang di sini yang dirakam orang awam. – UTUSAN