Sabah laksana pelbagai program untuk basmi kemiskinan - Utusan Malaysia

Sabah laksana pelbagai program untuk basmi kemiskinan

Dr. Joachim Gunsalam
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANAU: Kerajaan Sabah akan memastikan usaha berterusan untuk membasmi kemiskinan melalui pelbagai program yang dapat meningkatkan ekonomi rakyat terutama yang tinggal di luar bandar.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr. Jaochim Gunsalam berkata, setiap program yang dilaksanakan  itu akan dipastikan mampu mengatasi masalah kemiskinan dengan memberi kesan langsung kepada mereka yang terlibat.

Katanya, antara program yang sudah menampakkan kejayaan ialah Mini Estet Sejehtera (MESEJ) di bawah kendalian Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB).

Katanya, program itu berjaya mengubah taraf hidup masyarakat luar bandar dengan membantu meningkatkan sosiso-ekonomi dan seterusnya mengeluarkan mereka daripada kemiskinan.

“MESEJ sudah dilaksanakan di 52 kampung di seluruh Sabah iaitu di daerah Keningau, Nabawan, Pitas, Beaufort, Sipitang, Sebatik, Kinabatangan, Kunak dan Semporna serta di Kampung Mansalu, Ranau yang sudah bermula sejak tahun 2013 lagi.

“Peserta program ini adalah dalam kalangan penduduk kampung dan sehingga kini seramai 295 orang peserta dengan dua puluh orang daripadanya adalah dari kampung Mansalu dan Kampung Karagasan, Ranau sudah mendapat manfaat,” katanya ketika melakukan lawatan kerja ke Kampung Mansalu, Ranau baru-baru ini.

Pada lawatan itu, Dr. Joachim yang juga Menteri Pembangunan Industri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang telah diberi taklimat oleh Pengurus Besar SLDB, Syahheddrul Joddari.

Dr. Joachim memberitahu, melalui MESEJ, SLDB akan membantu penduduk kampung memajukan tanah mereka dengan penanaman kelapa sawit selain disediakan kemudahan asas seperti rumah, bekalan air dan elektrik di bawah seliaan Jabatan Air Sabah dan Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB).

Katanya, kerajaan Sabah akan mempergiatkan lagi program seumpama itu kerana terbukti dapat membawa peserta keluar dari kemiskinan.

Beliau juga berharap lebih ramai penduduk luar bandar di negeri ini akan menyertai program MESEJ yang mana kemasukan peserta program adalah dengan kerjasama pejabat daerah.

“Ini adalah satu program yang dapat mengubah taraf hidup masyarakat luar bandar khususnya di Kampung Mansalu, Ranau.

“Program seumpama ini perlu diteruskan demi kelangsungan hidup penduduk luar bandar dan seterusnya meningkatkan sosio-ekonomi mereka,” katanya.

Katanya, jika dilihat pada statistik pendapatan peserta MESEJ di Kampung Mansalu, purata pendapatan peserta ialah di antara RM950 sehingga RM1,500 sebulan.

“Ini adalah satu bukti yang dapat disampaikan kepada semua orang bahawa MESEJ ini merupakan satu program yang dapat membantu penduduk luar bandar meningkatkan taraf hidup,” jelasnya.

Pada masa sama beliau berharap kemudahan asas di Kampung Mansalu akan dibaik pulih terutama jalan utama yang digunakan penduduk di sini adalah jalan lori balak dan hanya dapat dimasuki dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda.

Sedangkan katanya, jarak antara ladang dikampung itu ke pekan Ranau ialah 83 kilometer dan 272 kilometer jika mengikut laluan dari Telupid melalui Jalan Ladang Kelapa Sawit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya