MERSING: Seorang nelayan terpaksa dirawat di unit rawatan rapi (ICU) selepas melecur dalam kebakaran di rumah pusaka keluarganya di Jalan Tanjung, Endau di sini hari.
Adik mangsa, Norhasimah Ali, 51, berkata, abangnya, Zulhamili Ali, 54, dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) kerana melecur di badan, tangan dan kepala.
“Abang duduk berseorangan di rumah ibu bapa kami selepas bercerai. Setiap hari anak saya akan hantar makanan di rumah abang. Pagi tadi kira-kira 9.30 pagi, ketika anak hantar nasi dia berada dalam keadaan baik.
“Kira-kira pukul 12.30 tengah hari, abang datang ke rumah kami yang terletak selang sebuah di belakang menjerit-jerit kesakitan.
“Kami lihat badannya melecur tangannya berdarah, muka dan kepalanya terdapat kesan melecur,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, Zulhamili sempat duduk di rumahnya dan meminta air sementara menanti ambulans sampai untuk membawanya ke klinik.
Jelasnya, dia difahamkan selepas rawatan abangnya berada dalam keadaan stabil.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba Penyelamat Endau, Mohd. Alias Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan pukul 12.20 tengah hari sebelum bergegas ke lokasi bersama lapan anggota dengan sebuah jentera serta kenderaan utiliti.
“Kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis separuh kekal yang terbakar 90 peratus. Terdapat seorang mangsa cedera melecur..
“Mangsa telah keluar rumah sebelum pasukan keselamatan sampai di lokasi. Siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti punca dan anggaran kerugian,” katanya. – UTUSAN