JERANTUT: Seorang tukang jahit berusia 24 tahun di sini kerugian RM6,000 selepas diperdaya lelaki menyamar sebagai kenalan bapanya.
Kejadian bermula apabila mangsa dihubungi lelaki yang mengaku dirinya sebagai rakan bapanya dan memaklumkan dia kehilangan dompet serta telefon bimbit.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, lelaki itu meminta untuk meminjam RM4,000 daripada mangsa.
Menurut beliau, lelaki itu memberikan nombor akaun bank dan berjanji akan membayar balik wang.
“Selepas itu, mangsa melakukan transaksi pemindahan wang seperti diminta.
“Tidak lama kemudian, suspek sekali lagi meminta pinjam RM2,000 dengan alasan wang tersebut tidak mencukupi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Mohd. Wazir, mangsa tanpa syak memindahkan RM2,000 lagi sebelum menyedari telah tertipu.
“Mangsa membuat semakan nombor akaun melalui carian Internet dan menemukan laporan berita berkaitan penipuan menyamar kenalan yang dilakukan suspek.
“Laporan dibuat mangsa di Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.- UTUSAN