KUALA TERENGGANU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 3 mematahkan sindiket penyeludupan 1,700 karton rokok berjenama John yang dianggarkan bernilai RM2.5 juta dalam Op Benteng Covid di Kuala Nerus, di sini hari ini.
Timbalan Komandernya, Superintenden Mohd. Razlin Abdul Manaf berkata, rampasan tersebut adalah yang terbesar di negeri ini sepanjang tahun ini.
Katanya, lori yang membawa muatan 340 kotak rokok itu ditahan di tepi jalan Kampung Tepoh-Batu Rakit kira-kira pukul 8.15 pagi.
“PPM Wilayah Tiga dengan kekuatan sembilan pegawai dan anggota yang mengekori lori itu dari Kampung Gemuruh berjaya memintas kenderaan tersebut tidak lama kemudian, namun pemandunya yang berusia 30-an terus memecut laju.
“Pengejaran berlaku dalam tempoh kira-kira 30 minit dan lelaki itu bertindak lari selepas memberhentikan kenderaannya di tepi jalan tetapi ditahan polis,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Mohd. Razlin, sindiket yang aktif sejak setahun lalu itu dikesan mengedarkan rokok berkenaan untuk pasaran daerah ini dan Dungun.
Katanya, kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967.
Dalam perkembangan sama, katanya, PPM Wilayah Tiga merekodkan 11 kes rampasan di pantai timur membabitkan nilai hampir RM7.3 juta sepanjang tahun ini. – UTUSAN ONLINE